Ewon menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Koperasi Pusat Komuniti Lundayeh Sabah Berhad sempena Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi Peringkat Parlimen Sipitang.
SIPITANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mencipta sejarah apabila berjaya mendaftarkan 1,001 koperasi baharu di seluruh negara sepanjang tahun 2023.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick menyifatkan kejayaan tersebut menunjukkan kesedaran tinggi dan minat besar rakyat negara ini dalam gerakan koperasi.
“Pada tahun lepas, buat pertama kali dalam sejarah, kita telah mencipta rekod dengan mendaftarkan 1,001 koperasi baharu berbanding purata pendaftaran pada tahun-tahun sebelumnya sekitar 600 hingga 700 koperasi baharu setahun.
“KUSKOP melalui SKM dan Instutut Koperasi Malaysia (IKMa) telah menganjurkan jelajah program memasyarakatkan koperasi sepanjang tahun lepas dan saya percaya ini telah menyumbang kepada kesedaran berkoperasi di kalangan rakyat.
“Saya menyatakan harapan besar agar koperasi-koperasi baharu ini dapat menjalankan perniagaan mereka dengan jayanya mengikut tata kelola perniagaan koperasi yang baik, menjaga kebajikan ahli-ahli dan menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya ketika berucap merasmikan Program Membudayakan Masyarakat Koperasi Peringkat Daerah Sipitang, di sini, hari ini.
Mengikut data interim koperasi di Sabah sehingga 30 Jun 2023, jumlah koperasi berdaftar adalah sebanyak 1,765 buah, dengan kekuatan anggota seramai 361,126 orang. Manakala syer dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM244 juta, aset terkumpul bernilai RM868 juta. Manakala pencapaian jumlah perolehan adalah sebanyak RM329juta.
Ewon turut menyatakan bahawa kriteria permohonan pendaftaran koperasi juga telah dipermudahkan terutamanya bilangan minimum anggota iaitu sebanyak lima orang.
“Kita telah menambahbaik proses pendaftaran koperasi. Hari ini lima orang yang mempunyai kemahiran yang sama, contohnya lima orang petani di sesebuah kampung sudah boleh menubuhkan koperasi mereka atau lima orang profesional di bandar sudah boleh menubuhkan koperasi,” katanya.
Inisiatif projek Tamu Desa
Sementara itu, Ewon berkata, insiatif pelaksanaan projek tamu desa yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bermula tahun ini bertujuan untuk menyediakan kemudahan infra kepada usahawan kecil di luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Beliau menyatakan Perdana Menteri telahpun bersetuju dan mengumumkan bahawa KUSKOP akan melaksanakan inisiatif tersebut dengan peruntukan sebanyak RM20 juta sepertimana dalam Belanjawan 2024.
“Pada tahun lepas, saya telah mencadangkan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2024 peruntukan bagi membina gerai-gerai usahawan kecil dan menaiktaraf kemudahan tamu-tamu desa di Sabah dan Sarawak. Perdana Menteri telah bersetuju dan menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk inisiatif ini bermula tahun ini.
“Seterusnya semasa sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan di Penampang pada bulan lepas, Perdana Menteri telah mengumumkan agar saya dan KUSKOP diberi mandat melaksanakan inisiatif ini. Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri di atas mandat ini dan akan memastikan peruntukan ini dapat membantu membina kemudahan infra seperti gerai dan tamu-tamu usahawan kecil di luar bandar di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Bersempena dengan program tersebut juga, Ewon turut melancarkan Koperasi Pusat Komuniti Lundayeh Sabah Berhad dan seterusnya meninjau tapak cadangan tamu desa yang mahu dibangunkan oleh koperasi tersebut.
Ewon seterusnya meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk pembinaan gerai tamu desa tersebut.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yaacob, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Haji Rusli Jaafar dan Pengerusi Koperasi Pusat Komuniti Lundayeh Sabah Berhad, Datuk Pangiran Lalung.


























