Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menter,i Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengalu-alukan rancangan saintis sel stem Prof. Dato Sri Dr. Mike Chan untuk menjadikan Sabah sebagai hab pelancongan kesihatan bertaraf dunia.
Dr. Chan yang merupakan Pengerusi Kumpulan Bioperubatan Kesejahteraan Eropah, berkongsi rancangan pengembangan dan visinya di negeri ini pada pertemuan dengan Ketua Menteri baru-baru ini.
Dr. Chan berkata, beliau dan isteri kelahiran Sabah, Prof. Dato Sri Dr. Michelle Wong merancang untuk mengembangkan operasi mereka ke Sabah bagi memenuhi pasaran Asean dan BIMP-EAGA.
Beliau berkata, rancangan pembesaran mereka termasuk penubuhan kemudahan pembuatan biofarmaseutikal menggunakan teknologi Jerman di hab Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Pusat Kesejahteraan Eropah Asia Pasifik di Alamesra dengan jumlah pelaburan kira-kira USD80 juta.

Hajiji (kiri) membincangkan teknologi sel stem bersama Dr. Chan
Dengan kemudahan yang disediakan, beliau berkata, ini juga akan membantu Sabah memperoleh pasaran khusus dalam sektor pelancongan pendidikan kesihatan kerana ramai penyelidik sel stem dari seluruh dunia akan datang ke negeri ini untuk membuat penyelidikan dalam perubatan bio-regeneratif dan sains.
Dr. Chan yang terkenal dalam industri perubatan bio-regeneratif di seluruh dunia, telah menulis lebih daripada 50 buah buku dan memenangi beberapa anugerah termasuk Anugerah Kepimpinan Keusahawanan Kesejahteraan Cina Sedunia dari China tahun lepas.
European Wellness yang diasaskan pada tahun 1991 mempunyai 46 hospital dan pusat di seluruh dunia termasuk di Jerman, Switzerland, Santorini Greece dan di seluruh Asia dengan rangkaian pelanggan yang luas.






























