Saripudin (tengah) menyempurnakan gimik perasmian
KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berharap prestasi dan pencapaian Pejabat Daerah Kalabakan dapat terus ditingkatkan dan dilpatgandakan agar daerah ini terus membangun dan maju dalam pelbagai bidang.
Turut berbangga dengan prestasi dan pencapaian Pejabat Daerah Kalabakan sejak mula beroperasi lima tahun lalu, beliau berkata, Pejabat Daerah Kalabakan yang diwujudkan pada tahun 2019 sangat memberi impak besar dalam sejarah Daerah Kalabakan dan memberi sinar baharu buat seluruh warga penduduk Kalabakan.
“Pada mulanya beroperasi di e-Desa pada Januari 2019 dan kemudian berpindah ke bangunan yang telah siap dibina pada November 2019, sehingga kini 2024, genap 5 tahun beroperasi.
“Saya berharap pencapaian ini akan terus ditingkatkan dan dilipatgandakan lagi supaya Daerah Kalabakan terus membangun dan maju dalam pelbagai bidang,” katanya pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan dan Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-5 serta Pelancaran Anti Rasuah Organisasi (OACP) Pejabat Daerah Kalabakan yang diadakan di Calvary Crown Tawau, dekat sini, kelmarin. Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen P191 Kalabakan, Saripudin Nuhalim.
Andi juga berasa sangat bangga dengan semangat kerja berpasukan kakitangan Pejabat Daerah dan pihak terlibat kerana aura kemeriahan sudah dapat dirasai melalui hasil pada malam tersebut.
Beliau berkata, penganugerahan yang diberikan menunjukkan bahawa pengorbanan dan sumbangan yang telah diberikan semasa berkhidmat dalam perkhidmatan awam adalah dihargai dan tidak pernah dilupakan oleh kerajaan.
“Ini kerana pekerja adalah aset penting Kerajaan dan perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam setiap tugas yang diamanahkan.
“Semoga APC ini akan memberikan motivasi kerja dan impak positif kepada semua warga Pejabat Daerah Kalabakan dalam memastikan kecemerlangan yang berterusan dan selaras dengan hala tuju Kementerian dan Kerajaan,” kata ADUN Tanjung Batu itu.
Mengenai pelaksanaan Pelan OACP, Andi yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan berkata, ia amat signifikan dalam membentuk sebuah organisasi yang bebas rasuah dengan warganya yang sentiasa membudayakan ketelusan, akauntabiliti dan integriti.
“Oleh sebab itu, kita sangat mengalu-alukan pembangunan pelan ini dan diharapkan menerusi pelaksanaan pelan ini, imej dan kualiti perkhidmatan semua jabatan dapat dimantapkan ke arah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.
“Rasuah dan integriti hendaklah dilihat dalam konteks yang luas dan tidak tertumpu kepada amalan rasuah. la juga berkaitan dengan segala amanah serta tanggungjawab yang diberikan kepada kita yang perlu dilaksanakan berdasarkan peraturan dan undang-undang sama ada dalam bentuk akta, garis panduan, SOP dan sebagainya,” tegasnya.
Mengucapkan tahniah dan syabas kepada penerima APC pada kali ini, beliau berharap momentum kejayaan dan kecemerlangan ini dapat terus ditingkatkan lagi pada masa akan datang.
“Marilah sama-sama berganding bahu ke arah pembangunan dan kemajuan daerah serta kesejahteraan rakyat yang maju dan kepimpinan yang telus, cekap dan berintegriti,” katanya.
































