Timbalan-timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (depan, tiga kiri) dan Datuk Ser Dr. Yee Moh Chai (depan, dua kiri) bersama Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki (depan, empat kiri), Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai (depan, kiri) dan para pemimpin yang menyertai pemukiman PBS.
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) bersedia untuk memastikan kemenangan meyakinkan bagi Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah pada pilihan raya negeri akan datang.
Sebagai sebuah parti politik yang tersusun dengan baik dengan jawatankuasa bahagian dan ratusan cawangan di seluruh negeri, PBS telah menghasilkan pelbagai inisiatif baharu yang disusun daripada maklum balas dan cadangan yang diperolehi daripada pemukiman dua hari yang dihadiri oleh pimpinan pusat dan pemimpin bahagian yang berakhir kelmarin.
Selain memastikan ia mengekalkan kesemua tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandangnya ketika ini, PBS juga telah mengenal pasti beberapa kerusi yang diharap diberi peluang untuk bertanding.
PBS ialah komponen kedua terbesar GRS yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor selepas Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat). PBS mempunyai tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Timbalan-timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai bersama Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki, Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Wanita, Datuk Malianah Ugau, Ketua Pemuda, Christoper Mandut dan para pemimpin lain yang menyertai pemukiman PBS.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pemukiman tersebut adalah satu kejayaan.
“Para peserta berkongsi pandangan jujur mereka, dan daripada maklum balas yang diterima, kami dapat menyenaraikan kekuatan dan kelemahan kami.
“Mereka juga membuat cadangan untuk membantu PBS menjadi lebih baik demi kebaikan parti dan semua ahli. Sebagai sebuah parti politik yang berpengalaman, kami dilatih untuk menghadapi sebarang cabaran, dan akan terus kekal relevan dengan sokongan daripada rakyat,” katanya.
Ketika membentangkan resolusi pemukiman itu, Joniston berkata, mereka juga percaya kepentingan meremajakan parti agar lebih menarik kepada generasi muda.
“Kita tidak boleh menafikan pengundi muda kini memainkan peranan dalam menentukan masa depan politik negeri, dan PBS perlu merebut peluang ini untuk meraih perhatian mereka dan bersama-sama kita memperjuangkan hak Sabah dan Sabahan melalui parti kita.
“Pada masa yang sama, kita juga perlu memperkasakan ahli kita dan menyedari bahawa perjuangan ini adalah tanggungjawab kita bersama. PBS adalah milik kita untuk kita melindungi, dan wajar untuk mengatakan bahawa PBSku, Tanggungjawabku, Kebanggaanku,” kata Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan ADUN Kiulu.
Retreat itu dianjurkan di bawah pengerusi Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki yang juga Pembantu Menteri kepada Menteri Kewangan dan ADUN Matunggong dan dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Ketua Menteri II dan ADUN Kundasang.
Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan turut memberi ceramah semangat kepada peserta dalam sesi khas semasa acara tersebut.
































