Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan sekali-kali mengambil bahagian dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan Persekutuan sekarang, kerana ia akan membawa kepada huru-hara dan menjejaskan kestabilan negara, kata Pengerusinya, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Kita mempunyai Kerajaan Persekutuan yang berfungsi dan mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Negeri kita, mengapa perlu cetuskan kekecohan?” katanya dalam kenyataan malam ini.
Ketua Menteri juga mempersoalkan motif dan niat pelaku “Langkah Dubai” sama ada ia semata-mata untuk memenuhi agenda politik mereka sendiri tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat.

“Kami bekerja untuk kemakmuran negara dan rakyat, kami tidak menyokong sebarang tindakan yang akan meruntuhkan negara.
“Malaysia mengamalkan demokrasi, mereka yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri hanya perlu menunggu Pilihan Raya Umum untuk melihat sama ada rakyat menerimanya,” katanya.
Hajiji berkata, GRS menyokong penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami yakin dengan kepimpinan beliau (Anwar). Biarkan beliau memimpin negara kita yang berbilang kaum menuju kemakmuran,” katanya.
































