KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penurunan kes denggi tahun lalu tetapi kematian akibat demam denggi meningkat.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Asits Sanna berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mencatatkan sebanyak 6,983 kes denggi yang telah dilaporkan sehingga 30 Disember tahun lalu (Minggu Epidemik 52 – ME52), iaitu penurunan sebanyak 1.8 peratus berbanding tahun 2022 (7,110 kes).
Katanya, pada tempoh yang sama terdapat 11 kematian akibat demam denggi dengan kadar kematian sebanyak 0.16 peratus, melibatkan lapan daerah iaitu tiga di Sandakan, dua di Kunak dan masing-masing satu di Papar, Semporna, Kudat, Nabawan, Putatan dan Tuaran.
“Ini merupakan peningkatan sebanyak 10 peratus, berbanding tempoh yang sama tahun lepas dengan 10 kematian akibat komplikasi demam denggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Asits Sanna
Dr. Asits turut meminta orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan, antaranya melakukan aktiviti cari dan musnah di sekeliling premis 10 minit setiap minggu dan gotong-royong di kawasan kediaman masing-masing, kerana berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia dijangka berlaku curahan hujan berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL) di sepanjang bulan Januari dan Februari 2024.
“Selain itu, orang ramai diminta untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk seperti menggunakan repelan dan semburan aerosol ketika waktu nyamuk aktif iaitu pada waktu awal pagi (5 – 7 pagi) dan lewat petang (5 – 7 petang), serta mendapatkan rawatan awal di mana-mana fasiliti kesihatan jika mengalami gejala demam denggi seperti demam, sakit sendi/tulang/otot, sakit kepala yang kuat serta sakit di belakang mata,” katanya.
Dapatkan maklumat terkini denggi di aplikasi iDengue atau melalui pautan laman sesawang iDengue di https://idengue.mysa.gov.my/


































