David Chan
KOTA KINABALU: Pelaksanaan cukai 10 peratus bagi barang import bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian mulai 1 Januari ini dibimbangi akan turut memberi bebanan kewangan tambahan kepada golongan B40.
Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, ini kerana membeli barangan dalam talian telah menjadi seakan budaya dalam kalangan B40 kerana ianya lebih murah dan dari segi kualiti tidak jauh berbeza.
Katanya, ini termasuk barangan alat ganti bagi kenderaan lama di mana ada barangan alat gantinya telah dihapuskan secara berperingkat di pasaran tempatan, menyebabkan pembeli terpaksa membeli alat-alat ganti secara dalam talian.
“Justeru, kita menggesa Kerajaan Persekutuan agar mempertimbangkan untuk mengurangkan atau tidak mengenakan cukai bagi pembelian dalam talian supaya pengguna B40 tidak akan terbeban,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pelaksanaan cukai 10 peratus LVG ini melibatkan barangan import bernilai RM500 ke bawah.


































