Laporan portal berita tersebut yang menyiarkan dakwaan tersebut.
TAWAU: Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau yang melakukan verifikasi terhadap dakwaan terdapat penduduk kampung mengalami gejala demam panas serta muntah akibat terhidu sisa toksik kegiatan lombong emas di Bukit Mantri, Balung, mendapati tiada kes seperti itu dilaporkan berlaku di daerah ini.
Malah, individu yang dikatakan wakil penduduk Kampung Balung yang bernama Zahidee Ramlee yang membuat dakwaan itu yang disiarkan dalam sebuah portal berita dalam talian pembangkang, juga tidak dapat dikesan.
Selain itu, nama Kampung Balung juga didapati mengelirukan kerana tiada nama kampung itu dalam senarai kampung yang diwartakan di Tawau.
Menurut laporan awal Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau, pasukan Rapid Assessment Team (RAT) dari Unit CDC & Survelan Pejabat Kesihatan Kawasan (PPK) Tawau yang diketuai oleh Dr. Helmy Sajali, Pegawai Perubatan UD52, Unit CDC & Survelan PKK Tawau, dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) Mohd. Hafiq dan PPKP Mohd. Ikram telah turun untuk membuat verifikasi kejadian pada jam 2.30 petang kelmarin (20 Dis) yang turut disertai oleh Jomius Joseph, dari Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Cawangan Sandakan.
Pasukan RAT telah mengadakan sesi pertemuan dengan Ketua Kampung Balung Cocos, Cikgu Takun Austin di kediamannya. Selain itu, Pasukan RAT juga telah bertemu dengan Cikgu Kelana Benza (individu yang dinyatakan dalam artikel portal berita tersebut).
Verifikasi yang dijalankan mendapati Kampung Balung Cocos, terletak di DUN Balung, mempunyai sekitar 2000 orang penduduk. Terdapat sejumlah besar penduduk kampung dari golongan belia yang bekerja di lombong emas tersebut, dan tiada sebarang aduan mengenai pekerja yang jatuh sakit.
Kedudukan lombong adalah terletak lebih kurang 13 kilometer dari kampung tersebut yang mengambil masa perjalanan dalam 20 – 40 minit.
Verifikasi itu turut mendapati tiada kampung yang bernama Kampung Balung seperti yang dinyatakan dalam artikel portal berita tersebut, kampung yang digazetkan ialah Kampung Balung Cocos.
“Ketua Kampung juga mengesahkan tiada penduduk kampung yang bernama Zahidee Ramlee.
“Menurut Ketua Kampung, setakat hari ini tiada sebarang kejadian atau aduan penduduk kampung sekeluarga yang mengalami simptom seperti yang dinyatakan dalam artikel tersebut.
“Temubual bersama beberapa penduduk kampung juga tidak mendapati sebarang aduan berkaitan bau/ gas yang kurang menyenangkan yang dialami oleh penduduk kampung.
“Verifikasi turut dilakukan di fasiliti kesihatan kerajaan terdekat (KD Balung Cocos dan KK Apas Balung) serta klinik-klinik swasta di Pekan Balung dan juga di Hospital Tawau di mana setakat ini tiada kes yang mengalami gejala sedemikan yang datang mendapatkan rawatan,” kata laporan itu.
Pasukan RAT juga telah bertemu dengan Cikgu Kelana (individu yang dinyatakan dalam artikel itu). Beliau yang mengusahakan pusat pelancongan di Batu Bersusun, Balung memberitahu berlaku perubahan warna air sungai untuk seminggu, beberapa minggu lepas. Namun beliau hanya menyatakan aduan tersebut kepada Pegawai dari Jabatan Pengairan dan Saliran yang kebetulan beriadah di sana. Pada ketika ini keadaan air sungai telah kembali jernih. Perkara ini telah diambil maklum oleh Jomius dan siasatan dari pihak JPAS akan dijalankan.
Pihak Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau juga mengesahkan berdasarkan verifikasi dan maklumat semasa, buat masa ini tiada sebarang kejadian seperti yang dinyatakan dalam artikel tersebut, dan tidak ada sebarang implikasi negatif terhadap kesihatan penduduk Kampung Balung Cocos secara khususnya dan penduduk Tawau secara umumnya.
Pihak Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau bersama agensi-agensi lain yang berkaitan akan terus memantau situasi kesihatan penduduk kampung yang terlibat, dan penduduk Daerah Tawau dari semasa ke semasa.
Laporan awal ini disediakan oleh Dr. Helmy dan disemak dan disahkan oleh Dr. Shameer Khan Sulaiman, Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Pra-warta) yang juga Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau pada jam 4.55 petang kelmarin.
Portal berita dalam talian Sabah News Today telah menyiarkan satu berita bertajuk “Penduduk alami sakit, muntah akibat terhidu sisa toksik kegiatan lombong haram di Bukit Mantri, Balung” kelmarin (20 Dis).
Menurut artikel tersebut, seorang wakil penduduk Kampung Balung bernama Zahidee Ramlee telah membuat laporan berkaitan beberapa ahli keluarganya yang mengalami gejala demam panas serta muntah akibat terhidu sisa toksik dari aktiviti pelombongan emas di kawasan berhampiran.