Steve Johnny Mositun
KOTA KINABALU: Sabah mungkin akan berhadapan pelbagai masalah sekiranya pelarian warga Palestine dibawa masuk dan ditempatkan di negeri ini, kata Timbalan Presiden Kelab Komuniti Sayang Sabah, Steve Johnny Mositun.
Katanya, ini termasuk ketidakseimbangan demografi, tekanan terhadap sumber kemanusiaan, ketegangan budaya dan agama, gelombang pekerja asing, risiko keselamatan, peningkatan beban perkhidmatan awam dan beban ekonomi.
Kerana itu, beliau tidak bersetuju dengan cadangan untuk mempertimbangkan penerimaan pelarian warga Palestin, terutamanya jika mereka ditempatkan di Wilayah Sabah atau Sarawak.
Steve yang juga Pengerusi Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) berkata, penerimaan pelarian mungkin menimbulkan beban ekonomi jangka pendek sebelum mereka dapat diintegrasikan dalam masyarakat dan pasaran pekerjaan tempatan.
“Selain itu, kebimbangan mengenai ketidakstabilan politik yang mungkin akan timbul jika kemasukan pelarian tidak dikelola dengan baik, terutamanya jika terdapat perbezaan pendapat dalam masyarakat mengenai isu tersebut.
“Penerimaan pelarian juga dinilai boleh mencetuskan ketidakseimbangan budaya dan ketegangan dalam masyarakat, serta menekan sumber Kerajaan termasuk prasarana infrastruktur dan perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan.
“Dari segi kemanusiaan, kita sentiasa peka dan membantu dari keupayaan yang ada serta sentiasa menyokong apa yang baik dari sudut kemanusiaan sejagat.
“Namun, menerima masuk ke Wilayah Sabah dianggap tidak praktikal, dengan mengambil kira pelbagai cabaran yang mungkin timbul. Ini termasuk mengambil kira suara rakyat Wilayah Sabah, terutamanya para belia yang memberikan pelbagai pandangan mengenai kesan peperangan dan konflik bersenjata di Gaza,” katanya lagi.
Berita mengenai isu ini menjadi kerisauan, terutamanya dengan petikan berita sokongan dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang menyatakan bahawa, Malaysia tidak dapat mengelakkan kemasukan pelarian warga Palestin ke negara ini.
Sebelum ini, Pertubuhan Gagasan NGO Dayak Sarawak menyokong pendirian Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menolak sebarang idea penerimaan pelarian Palestin ke Wilayah Sarawak. Parti Solidariti Tanah Airku (Star) melalui petikan berita daripada Pemangku Timbalan Presiden, Datuk Stephan Teo telah menyatakan tidak menyokong penerimaan pelarian warga Palestin, memandangkan masalah kebanjiran isu warga pendatang asing tanpa izin yang masih belum selesai di Wilayah Sabah.




























