Jainisah (depan,tengah) merakam gambar kenangan bersama ketua-ketua bahagian.
KOTA KINABALU: Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor menyeru warga Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah agar melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran baharu.
Menurut beliau, ilmu dan kemahiran baharu perlu agar kakitangan lebih bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang.
“Teknologi sentiasa berkembang seiring dengan perubahan zaman oleh itu semua pegawai penerangan perlu bersedia dengan perubahan agar terus kekal relevan.
“Utuh atau tidak jabatan bergantung kepada kita, apa jua keadaan dan suasananya kita perlu sentiasa bersedia untuk berubah mengikut situasi semasa bagi menjadikan jabatan akan kekal relevan kepada masyarakat.

Jainisah ketika menyampaikan amanat.
“Ke arah itu, kita harus mendalami pelbagai ilmu pengetahuandan ilmu-ilmu baru seiring dengan perkembangan teknologi agar dapat menyumbang seterusnya memperkasa fungsi dan khidmat jabatan berlandaskan keperluan semasa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Bil.2/2023 di Kompleks Bersepadu KKD, pada Jumaat.
Dalam majlis berkenaan, Jainisah turut menyampaikan anugerah khas antaranya pemenang Pertandingan Video Pendek (Reels) sempena Hari Inovasi JaPen Malaysia 2023 bertajuk Evolusi Info On Wheels dan penerima Anugerah Merit sempena Anugerah Kewartawanan Kinabalu iaitu Penolong Pegawai Penerangan, Deonalissa Jekee Edin, Pembantu Penerangan, Norliza Yusof dan Jurufoto, Jeffren Malaning.
Penghargaan turut diberikan kepada Pembantu Penerangan, Sidin Lahamat atas penerbitan video lagu Sabah Tanah Airku yang kini diguna pakai oleh semua agensi, jabatan juga institusi kerajaan dan swasta.
Sementara itu, Anugerah pelaporan Isu terbanyak diberikan kepada Pembantu Penerangan Daerah Tenom, Hazlysham Raya dan Pelapor Isu Terbaik kepada Pembantu Penerangan Daerah Keningau, Wenny Di Tian Soh. Jainisah turut menyempurnakan penyerahan bahan promosi Pusat Maklumat Rakyat (PMR) JaPen sumbangan Pejabat Setiausaha Persekutuan (SUP) kepada enam Pegawai Penerangan Daerah mewakili setiap zon.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Peter Tong Ah Pin, KPP Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Busmin Brahim, KPP Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Sulia Banying Gihang, KPP Bahagian Komunikasi, Visual dan Seni Reka, Razif Che Hashim, dan KPP Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan, Nur Diyana Ujit.


































