KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bertegas menafikan isu yang dibangkitkan oleh Malaysiakini menerusi laporan bertajuk “Baby Snatching: How stateless mums lose their infants in Sabah hospital” pada 15 September 2023.
KPWKM dalam kenyataan hari ini berkata, ia memandang serius dakwaan ini dan semakan telah dilakukan.
“Isu ini adalah kes lama yang dikendalikan oleh Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Lahad Datu, Sabah pada tahun 2021.
“Penempatan Kanak-kanak bersama Orang Yang Layak Dan Sesuai (OYLS) pada awalnya adalah melalui Perintah Sementara di bawah perenggan 19(2)(b), Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] daripada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK), sementara proses mengenal pasti ibu atau bapa atau penjaga dijumpai dan tampil untuk mendapatkan hak penjagaan tersebut.
“Walau bagaimanapun, seseorang yang mendakwa sebagai ibu kandung telah muncul di hospital dan menuntut untuk mendapatkan hak penjagaan semula kanak-kanak di mana pada ketika ini, kanak-kanak tersebut telah mendapat Perintah Tetap di bawah perenggan 30(1)(b), Akta 611 daripada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK).
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menegaskan bahawa suatu Perintah Tetap yang dikeluarkan oleh MBKK hendaklah mengambil kira kepentingan kanak-kanak sebagai pertimbangan utama dan menjadi fokus utama semua pihak yang terlibat.
“Setelah mendapat pengesahan daripada Ketua Kampung Bajau Laut, Lahad Datu, Sabah, pelindung telah menawarkan kepada ibu dan bapa kandung untuk mengambil semula hak penjagaan kanak-kanak daripada OYLS.
“Namun, ibu bapa kandung telah membuat keputusan untuk menyerahkan kanak-kanak kepada OYLS melalui akuan sumpah berkanun secara suci hati.
“Selain itu, pelindung juga mendapati bahawa ibu kandung tidak berkemampuan untuk memelihara kanak-kanak ini disebabkan oleh faktor kewangan dan kesihatan kronik serta tidak berupaya membiayai kos perubatan kanak-kanak tersebut dan telah meninggalkan kanak-kanak (pramatang) ini selama tiga bulan di Hospital Lahad Datu, Sabah,” kata kenyataan itu.
Susulan itu, kata KPWKM, satu sesi persidangan kes bagi memperincikan maklumat dan membuat semakan berhubung prosedur pengendalian kes pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak berdasarkan kepada Akta 611 telah diadakan pada 19 September 2023.
“KPWKM dengan itu menegaskan bahawa dakwaan yang telah dibangkitkan oleh Malaysiakini adalah tidak benar dan pengendalian kes telah dilaksanakan dengan teratur mengikut prosedur yang ditetapkan berdasarkan laporan pelindung, perintah Mahkamah, laporan polis, akuan sumpah berkanun, permohonan daftar lewat kelahiran kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan laporan daripada pihak Hospital Lahad Datu, Sabah.
“Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat pada hari ini (20 September) di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bagi menafikan dakwaan tidak benar ini.
“Kementerian juga memberi jaminan untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa apabila siasatan dijalankan.
“Pelindung telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab berlandaskan pewartaan pelantikan dan kuasa pelindung di bawah seksyen 8, Akta 611 bagi menentukan penempatan kes-kes pemeliharaan dan perlindungan kepada OYLS atau tempat selamat,” kata kenyataan itu lagi.
Tambahnya, penempatan kanak-kanak bersama dengan keluarga adalah keutamaan dan pilihan terbaik berdasarkan kepada “best interest of the child” berbanding penempatan di institusi kebajikan.
“KPWKM tidak akan berkrompromi dengan mana-mana pihak sekiranya terdapat unsur kecuaian mahu pun salah laku Pelindung dalam mengendalikan kes kanak- kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.
“KPWKM menyeru semua pihak untuk tampil membuat laporan menerusi Talian Kasih 15999 dan pihak berkuasa. KPWKM juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pegawai yang terlibat sekiranya dakwaan ini adalah benar dan memang berlaku.
“KPWKM mengalu-alukan cadangan penambahbaikan dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan kanak-kanak kerana kanak-kanak adalah masa depan negara,” demikian menurut kenyataan itu.
Tanggungjawab dan kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam menjaga keselamatan dan melindungi kanak-kanak seterusnya dapat mengekang peningkatan kes pengabaian kanak-kanak pada masa hadapan, menurut kenyataan kementerian.































