SANDAKAN: Seorang remaja perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki nyaris lemas selepas terjatuh ke dalam kolam ikan di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Severinus @ Mohd. Nidzam Sainkui berkata, kejadian berlaku di Kolam Ikan Kampung Sungai Kayu, Batu 7, pada kira-kira jam 11.40 pagi.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 dan dua anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Abdullah Amin bersama sebuah jentera EMRS dikejarkan ke lokasi itu.
Setiba di lokasi kejadian yang terletak 10 kilometer dari BBP itu, didapati terdapat dua orang mangsa, seorang perempuan berumur 19 dan seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun terjatuh dalam kolam ikan.
“Mangsa telah diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. Pasukan bomba menghantar mangsa ke Hospital Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi tamat pada jam 12 tengah hari, tambahnya.





























