KOTA KINABALU (Bernama): Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 12 Nov untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh keputusan terhadap rayuan Kerajaan Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kelayakan hasil 40 peratus Sabah.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli menangguhkan keputusan itu, selepas mendengar hujahan lebih tiga jam daripada semua pihak, iaitu perayu, Kerajaan Persekutuan serta pihak responden, Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS) dan Kerajaan Negeri Sabah.
Panel tersebut, yang turut dianggotai oleh hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Amarjeet Singh, bersidang bagi mendengar rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap perintah mandamus Mahkamah Tinggi, yang mengarahkan kedua-dua kerajaan mengadakan semakan dan mencapai persetujuan berhubung pemberian khas bagi tempoh 1974 hingga 2021.
“Kami belum bersedia untuk membuat keputusan pada petang ini. Kami memerlukan masa untuk meneliti penghujahan tersebut. Kami akan menetapkan kes ini untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh keputusan,” kata Hakim Azhahari Kamal sebelum menangguhkan prosiding dan pengurusan kes tersebut akan dikendalikan melalui sistem e-Review.
Pada awalnya, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan hak perlembagaan Sabah terhadap formula 40 peratus di bawah Perkara 112C, mahupun haknya untuk semakan di bawah Perkara 112D.
Sebaliknya, beliau berkata rayuan itu semata-mata bertujuan untuk membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi, bahawa Kerajaan Persekutuan telah melanggar Perlembagaan antara 1974 dan 2021, serta keputusannya untuk membatalkan Perintah Semakan 2022 selepas itu.
Sementara itu, peguam Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS) David Fung menjustifikasikan locus standi (hak di sisi undang-undang) pertubuhan tersebut, dengan menyifatkan SLS sebagai “penjaga” Perlembagaan yang diperlukan.
Fung berkata Kerajaan Negeri Sabah sekadar “menjaga haknya” selama berdekad-dekad tanpa mengambil sebarang tindakan undang-undang, sekali gus memaksa pertubuhan masyarakat sivil untuk memohon campur tangan mahkamah bagi pihak rakyat Sabah.
Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Brenndon Keith Soh, menjawab persoalan panel hakim mengenai mengapa kerajaan negeri tidak pernah menggerakkan peruntukan perlembagaan untuk melantik penaksir bebas semasa ketiadaan semakan pada “tahun-tahun yang hilang” itu.
Soh menjelaskan bahawa mekanisme pelantikan penaksir bebas di bawah Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan, hanya boleh digerakkan apabila berlakunya kebuntuan semasa semakan yang diadakan secara rasmi sedang berlangsung.
Bagaimanapun, beliau berkata Kerajaan Persekutuan dari mula lagi telah gagal untuk mengadakan semakan mandatori pada 1974.
“Oleh kerana Kerajaan Persekutuan gagal mengadakan semakan mandatori 1974 dari mula, prasyarat perlembagaan untuk melantik penaksir tidak pernah dipenuhi, lantas menyebabkan negeri ini tidak mempunyai saluran undang-undang untuk menggerakkan mekanisme kebuntuan itu,” katanya.
Pada 17 Okt 2025, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memihak kepada permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SLS, dengan mengisytiharkan kegagalan Kerajaan Persekutuan melaksanakan semakan mandatori ke atas pemberian khas Sabah sejak 1974, sebagai tidak berperlembagaan.
Mahkamah Tinggi juga memerintahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dalam masa 180 hari mengenai hak kelayakan pemberian khas 40 peratus Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Kerajaan Persekutuan kemudiannya merayu terhadap keputusan tersebut, dan berjaya mendapatkan penangguhan pelaksanaan daripada Mahkamah Rayuan pada 6 April 2026 untuk menggantung pembayaran segera dan tarikh akhir pelaksanaan sementara menunggu hasil keputusan rayuan terbabit. — BERNAMA
































