KOTA KINABALU (Bernama): Peruntukan pembangunan dan operasi berjumlah RM18 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan 2027 berpotensi menjadi pemangkin penting dalam usaha merapatkan jurang infrastruktur asas serta memperkukuh asas perindustrian negeri itu.
Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah Prof Madya Dr Firdausi Suffian berkata antara keutamaan adalah penyelesaian isu tiga serangkai iaitu jalan raya, bekalan elektrik dan air yang masih menjadi cabaran kepada pembangunan serta kegiatan ekonomi di Sabah.
“Kita juga perlu realistik kerana peruntukan ini tidak akan dapat menutup semua jurang pembangunan dalam tempoh singkat tetapi boleh memberikan dorongan besar kepada pembangunan Sabah,” katanya dalam temu bual bersama BernamaTV dalam program Belanjawan 2027: Memacu Pembangunan dan Kebajikan Rakyat Sabah hari ini.
Firdausi juga menyifatkan peruntukan itu akan menjadi titik tolak dalam mengatasi masalah termasuk isu-isu berkaitan sekolah, hospital dan institusi pengajian di negeri berkenaan.
Beliau berkata taman perindustrian juga perlu diperkukuh dalam usaha meningkatkan pembangunan Sabah yang turut mengambil bahagian dalam sektor ekonomi baharu termasuk semikonduktor dan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang semakin mendapat perhatian dalam agenda pembangunan negara.
Ini penting sejajar dengan kedudukan Sabah yang giat memperkenalkan dasar ekonomi biru yang dirancang secara bersepadu dan berpotensi membuka ruang kepada aktiviti ekonomi baharu, sekali gus memperluas peluang pekerjaan dan mengukuhkan daya saing negeri itu.
“Isunya sekarang bukan sekadar berapa banyak peruntukan diberikan, tetapi bagaimana dana itu diurus dan diterjemahkan kepada hasil pembangunan yang nyata,” katanya.
Mengulas mengenai peruntukan sebanyak RM204 juta untuk Sistem STATCOM, Firdausi berkata ini dapat memperkukuh bekalan elektrik di pantai timur Sabah kerana penjanaan elektrik di Sabah dianggarkan kira-kira 1,200 megawatt (MW), jauh lebih rendah berbanding Sarawak iaitu 5,000 MW dan Semenanjung 23,000 MW.
Pada masa sama, beliau berkata catuan bekalan elektrik mengikut jadual tertentu boleh menjejaskan operasi perniagaan malah mengurangkan keyakinan pelabur untuk mengembangkan aktiviti ekonomi di kawasan pantai timur yang terkenal dengan industri pelancongan.
“Saya rasa kajian kebolehlaksanaan telah selesai dan sekiranya ini dapat menjadi permulaan, sudah tentu akan memberi nafas baharu dari segi bekalan elektrik kepada pantai timur Sabah,” katanya. — BERNAMA

































