James Ratib
KOTA KINABALU: Tiga perusahaan sosial dari Sabah mengenal pasti 12 potensi rakan kerjasama baharu menerusi penyertaan dalam International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2026 dan Kuala Lumpur Sustainability Summit (KLSS) 2026, baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, kementeriannya bersama Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) akan terus memperluas peluang kerjasama strategik bagi membantu perusahaan sosial tempatan mengembangkan produk dan inisiatif mereka ke pasaran lebih luas.
Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan potensi ekonomi perusahaan sosial, malah memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh komuniti setempat melalui pemeliharaan warisan budaya, kelestarian alam sekitar dan pewujudan peluang pendapatan mampan.
Penyertaan dalam kedua-dua platform itu melibatkan tiga perusahaan sosial, iaitu Rustic Borneo Global Trading Sdn. Bhd., Kadazan Dusun Language & Cultural Centre (KDLC Dalai Heritage) dan Community Based Ecotourism Kuyungon (COBETK).
Antara peluang kerjasama yang dikenal pasti termasuk potensi kolaborasi dengan United Nations Development Programme (UNDP), pemasaran kraftangan tradisional Dalai ke pasaran antarabangsa serta cadangan projek perintis penghasilan air mineral menggunakan sumber air tadahan Kampung Kuyungon.
Penyertaan itu turut memberi pendedahan kepada perusahaan sosial Sabah mengenai perkembangan ekonomi hijau, pembiayaan lestari dan permintaan pasaran terhadap produk mesra alam.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha KPSTI dan SCENIC untuk memperkukuh jaringan strategik, membuka peluang pasaran baharu serta meningkatkan daya saing perusahaan sosial tempatan.
Melalui kerjasama itu, perusahaan sosial Sabah diharap dapat mengembangkan potensi masing-masing sambil memastikan aktiviti ekonomi yang dilaksanakan terus memberi manfaat kepada masyarakat dan persekitaran.































