KOTA KINABALU (Bernama): Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu kakak tiri Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengalami tekanan perasaan ketika tinggal bersama-sama ibu Zara Qairina selama tujuh bulan semasa masih bersekolah rendah.
Malianah Mahathir, 25, berkata dia berusia 10 tahun ketika mula tinggal dengan bapanya dan ibu Zara Qairina selepas pasangan itu berkahwin pada 2011.
Saksi ke-81 itu berkata tempoh tersebut berlaku dari penghujung 2011 hingga Jun 2012 sebelum dia keluar dari rumah berkenaan.
“Sepanjang saya tinggal bersama-sama, ibu tiri saya pandai berpura-pura. Apabila bapa saya berada di rumah, ibu tiri akan baik dengan saya. Namun apabila bapa saya keluar bekerja, ibu tiri akan mula berubah dan tidak suka akan saya.
“Sepanjang saya tinggal dengan ibu tiri saya, saya mengalami tekanan perasaan akibat sikap dan percakapan ibu tiri saya. Pada masa itu, saya masih budak sekolah rendah,” katanya ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina hari ini.
Malianah berkata dirinya terpaksa menguruskan sendiri keperluan harian termasuk menyediakan makanan, mencuci pakaian dan menyiapkan kelengkapan sekolah selain ibu Zara Qairina sering menggunakan kata-kata kasar terhadapnya.
Pada Jun 2012, Malianah berkata mula tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan Malaria selepas berpindah ke sekolah itu.
Pada 2013, semasa berada di darjah enam, wanita itu keluar dari asrama dan mula tinggal bersama-sama ibu kandungnya di Kampung Binunuk, Beaufort sebelum meneruskan persekolahan di situ hingga tingkatan tiga.
Malianah berhenti sekolah pada Oktober 2016 dan bekerja di Kota Kinabalu kira-kira tiga bulan sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada penghujung tahun sama untuk tinggal bersama-sama ibu saudaranya di Rawang, Selangor dan menyambung persekolahan dari tingkatan empat hingga tingkatan lima.
Wanita itu berkata Zara Qairina lahir pada 2013, selepas saksi tidak lagi tinggal bersama-sama bapa dan ibu Zara Qairina.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas pelajar tingkatan satu itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada 4 pagi. — BERNAMA






























