KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan Sabah mempunyai suara yang lebih kuat, tersusun dan berpengaruh di peringkat Persekutuan.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, berdasarkan simulasi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, GRS secara atas kertas mempunyai potensi memenangi sekitar 14 hingga 15 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah.
Bagaimanapun katanya, GRS tidak mahu sekadar berpuas hati dengan angka tersebut, sebaliknya mahu mencapai kemenangan lebih besar.
“Kalau kita lihat dari segi kiraan simulasi DUN yang lepas, GRS on paper boleh menang dalam 14 hingga 15 kerusi Parlimen. Tetapi kita mahu lebih daripada itu.
“Kita mahu suara Sabah melalui GRS mempunyai jumlah kerusi yang jauh lebih besar,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS, di sini, hari ini.

Armizan Mohd. Ali
Armizan berkata, strategi GRS adalah untuk mempertahankan sokongan sedia ada di kawasan yang menunjukkan prestasi kukuh pada PRN lalu, selain memperluaskan sokongan di kawasan Parlimen lain yang berpotensi dimenangi.
Menurutnya, pemilihan calon juga menjadi antara faktor penting dengan mengambil pengajaran daripada PRN lalu bahawa faktor calon boleh menang atau winnable candidate tidak boleh diketepikan.
Beliau berkata, GRS kini mempunyai tujuh Ahli Parlimen susulan kemasukan UPKO yang mempunyai dua Ahli Parlimen.
Katanya, kekuatan lebih besar di Dewan Rakyat amat penting kerana Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen dan wakil yang mampu bergerak dengan satu suara akan memberikan kedudukan lebih kukuh dalam memperjuangkan aspirasi serta kepentingan negeri.
“Kalau 25 kerusi Parlimen Sabah diisi oleh wakil yang berpecah dan tidak boleh membawa one voice, suara kita tidak akan sekuat dan sesolid yang kita mahukan.
“Landskap politik Malaysia sekarang menuntut kepada kekuatan kita,” katanya.
Konvensyen GRS 2026 Di Kudat
Dalam perkembangan sama, Armizan mengumumkan Konvensyen GRS 2026 akan berlangsung pada 18 Oktober 2026 di Dewan Tun Mustafa, Kudat, dengan penyertaan dianggarkan seramai 2,500 peserta daripada enam parti komponen GRS.
Menurut beliau, konvensyen berkenaan membawa pendekatan serampang dua mata merangkumi agenda politik serta pembangunan negeri dan rakyat.
Selain membincangkan hala tuju politik GRS, konvensyen itu akan menilai pencapaian kerajaan serta memberi ruang kepada menteri-menteri membentangkan hala tuju kementerian masing-masing untuk mendapatkan maklum balas kepimpinan akar umbi.
Pemilihan Kudat pula mencerminkan pendekatan baharu GRS untuk membawa konvensyen ke luar Kota Kinabalu secara bergilir mengikut zon.
“Kita mahu konvensyen GRS tidak hanya berpusat di Kota Kinabalu. Tahun ini Kudat dipilih sebagai tuan rumah.
“Seluruh kepimpinan akan turun ke Kudat bukan hanya untuk agenda politik, malah kementerian-kementerian juga akan mengadakan program masing-masing bersama rakyat,” katanya.
Program berkenaan turut dijangka melibatkan kawasan sekitar Kudat termasuk Pulau Banggi menerusi pelbagai program kementerian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Belanjawan Sabah 2027 Turut Dibincang
Sementara itu, Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS turut membincangkan pandangan parti-parti komponen mengenai Belanjawan Negeri Sabah 2027.
Armizan berkata, Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor memberi ruang kepada semua parti komponen mengemukakan cadangan mengenai perkara yang perlu diberikan keutamaan dalam belanjawan berkenaan.
Cadangan tambahan juga boleh dikemukakan secara bertulis kepada Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Timbalan Pengerusi GRS.
Menurut Armizan, peningkatan hasil negeri akan memberikan ruang fiskal tambahan kepada kerajaan, namun perbelanjaan mesti dibuat berdasarkan keutamaan rakyat dan negeri serta disertai tadbir urus yang baik.
“Apabila hasil negeri meningkat, akan ada ruang fiskal tambahan. Tetapi ruang itu perlu dibelanjakan mengikut keutamaan.
“Pada masa sama, ia mesti dibelanjakan dengan tadbir urus yang baik supaya dapat mengelakkan sebarang ketirisan yang akhirnya merugikan rakyat dan negeri,” katanya.
Armizan berkata, GRS akan terus memperkemaskan kekuatan dalaman gabungan, mempertahankan kestabilan Kerajaan Negeri serta memastikan suara dan aspirasi rakyat Sabah mendapat kedudukan yang lebih kukuh dalam landskap politik nasional.






























