Masidi (tengah) bersama Evald Holstad (tiga dari kiri) dan rombongannya. Turut kelihatan Chong, Terry dan Willie (tiga dari kiri).
KOTA KINABALU: Sabah sentiasa terbuka kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, pelaburan sedemikian bukan sahaja dapat mewujudkan peluang ekonomi, malah memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta memberi manfaat kepada rakyat.
Masidi berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat EInnovation & EPlug dari Norway yang diketuai Presidennya, Evald Holstad bersama rombongan di pejabatnya di sini.
Pertemuan itu membincangkan potensi kerjasama dan prospek pelaburan di Sabah, khususnya dalam sektor minyak dan gas serta aktiviti hiliran berkaitan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Holstad dan rombongan atas kunjungan berkenaan, yang disifatkannya membuka ruang untuk memperkukuh hubungan antara Sabah dan Norway serta meneroka potensi baharu dalam sektor tenaga.
Turut hadir Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Ben Chong; Ketua Pegawai Eksekutif TAS Institute Oil and Gas, Datuk Willie Ng; serta Ketua Pegawai Korporat dan OGSE SMJE, Terry Biusing.
































