KUALA LUMPUR (Bernama): Kerajaan Persekutuan mencatatkan kutipan hasil berjumlah RM336.06 bilion pada 2025, meningkat RM11.451 bilion atau 3.5 peratus berbanding RM324.61 bilion pada 2024.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025 memaklumkan hasil cukai yang berjumlah RM259.82 bilion menyumbang 77.3 peratus kepada keseluruhan kutipan hasil pada 2025.
“Trend kutipan hasil mengikut sukuan 2025 menunjukkan peningkatan tertinggi adalah dari suku tahun kedua kepada suku tahun ketiga, iaitu sebanyak RM18.31 bilion.
“Trend kutipan hasil bagi tempoh lima tahun menunjukkan peningkatan berterusan dari 2021 hingga 2025,” maklum laporan itu.
Laporan itu turut menjelaskan bahawa hasil cukai terdiri daripada cukai langsung yang diuruskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia serta cukai tidak langsung yang diuruskan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Pada 2025, kutipan hasil cukai berjumlah RM259.82 bilion, melebihi RM6.42 bilion atau 2.5 peratus berbanding anggaran RM253.40 bilion.
“Pada 2025, kutipan hasil cukai meningkat sebanyak RM19.63 bilion atau 8.2 peratus berbanding RM240.19 bilion pada 2024,” maklum laporan itu.
Mengikut pecahan hasil, cukai langsung berjumlah RM180.55 bilion, meningkat RM8.86 bilion atau 5.2 peratus berbanding RM171.69 bilion pada 2024.
Komponen utama cukai langsung ialah cukai pendapatan berjumlah RM166.45 bilion yang terdiri daripada cukai pendapatan syarikat dan individu, cukai pendapatan petroleum, cukai pegangan korporat, cukai keuntungan modal, cukai pegangan individu, cukai pendapatan koperasi serta cukai pendapatan lain.
“Prestasi kutipan cukai pendapatan pada 2025 menunjukkan peningkatan kutipan sebanyak RM7.582 bilion atau 4.8 peratus berbanding RM158.87 bilion pada 2024,” menurut laporan itu.
Cukai pendapatan syarikat, cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan petroleum yang berjumlah RM161.44 bilion atau 89.4 peratus, merupakan penyumbang utama kepada keseluruhan kutipan cukai langsung 2025 berjumlah RM180.55 bilion.
Kutipan cukai pendapatan syarikat meningkat RM5.04 bilion atau 5.4 peratus kepada RM97.81 bilion pada 2025 berbanding RM92.77 bilion pada 2024.
Kutipan cukai pendapatan individu pula meningkat RM4.47 bilion atau 10.9 peratus kepada RM45.57 bilion berbanding RM41.09 bilion pada 2024.
Cukai pendapatan petroleum pada 2025 mencatatkan penurunan RM2.46 bilion atau 12 peratus kepada RM18.06 bilion berbanding RM20.52 bilion pada tahun sebelumnya.
Pada 2025, kutipan cukai tidak langsung berjumlah RM79.26 bilion, meningkat RM10.77 bilion atau 15.7 peratus berbanding RM68.49 bilion pada 2024.
Tiga komponen cukai tidak langsung dengan kutipan tertinggi ialah cukai perkhidmatan berjumlah RM30.29 bilion atau 38.2 peratus, duti/cukai import RM26.74 bilion atau 33.7 peratus serta cukai jualan atas barang perkilangan dalam negeri RM8.42 bilion atau 10.6 peratus. — BERNAMA
































