Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha memastikan anak-anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti memerlukan komitmen dan kerjasama erat daripada semua pihak.
Beliau berkata, inisiatif mengumpul dana pendidikan seperti yang dilaksanakan Persatuan Hakka Daerah Tuaran amat dipuji dan wajar dicontohi persatuan lain demi masa depan generasi muda.
“Pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan generasi muda dan masa depan Sabah. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dan mereka yang telah menyokong Dana Pendidikan ini.
“Setiap sumbangan, tidak kira besar atau kecil, membawa harapan kepada generasi muda,” katanya pada Majlis Makan Malam Pengumpulan Dana Pendidikan Persatuan Hakka Daerah Tuaran di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, di sini malam tadi. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Mandela (tengah) mewakili Ketua Menteri melancarkan Dana Pendidikan Persatuan Hakka Daerah Tuaran di Dewan Hakka, Kota Kinabalu malam ini.
Hajiji berkata, pendidikan merupakan asas kepada pembangunan mana-mana masyarakat dan negeri.
“Melalui pendidikan, kita dapat mengubah nasib keluarga, membangunkan modal insan berkualiti dan memacu pertumbuhan ekonomi Sabah ke tahap lebih tinggi.
“Tidak dapat dinafikan bahawa pelaburan dalam modal insan penting bukan sahaja dalam meningkatkan taraf sosial, malah kedudukan ekonomi serta kesejahteraan individu dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan modal insan merupakan antara keutamaan Kerajaan Negeri di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan, pembiayaan dan kemudahan bagi membangunkan modal insan berkualiti serta membolehkan lebih ramai rakyat Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Ini termasuk biasiswa, dermasiswa dan bantuan kepada pelajar, selain 14 inisiatif bantuan pendidikan sedia ada, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI) secara one-off; Program Bantuan Komputer (BAIK); Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI); Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY); dan Sumbangan Pendidikan Tinggi Pelajar yang Belajar di Sabah (SENTOSA).
Yayasan Sabah turut menyediakan bantuan pendidikan yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat, katanya.
Beliau berharap Dana Pendidikan yang dikumpulkan malam ini akan terus memberi manfaat kepada generasi muda dan menyokong mereka dalam perjalanan pendidikan.
Hajiji berkata, pertubuhan seperti Persatuan Hakka Daerah Tuaran memainkan peranan penting kerana selain memelihara identiti dan budaya komuniti masing-masing, ia juga boleh menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Persatuan Hakka Daerah Tuaran yang akan mengadakan perasmian bangunan baharu dan Muzium Mini Hakka di pekan Tuaran bulan depan.
“Penubuhan Muzium Mini Hakka merupakan satu inisiatif baik untuk memelihara serta memperkenalkan sejarah dan budaya masyarakat Hakka kepada generasi muda dan orang awam.
“Saya berharap bangunan baharu dan Muzium Mini Hakka ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya, bukan sahaja untuk kepentingan ahli persatuan, malah bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat dan pertubuhan lain,” katanya.
































