Masiung Banah
KOTA KINABALU: Kerajaan digesa mengembalikan sistem tawaran jawatan tetap kepada doktor perubatan termasuk doktor pakar, dengan tawaran gaji baharu yang lebih konsisten bagi menangani penghijrahan tenaga perubatan ke luar negara.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, tawaran lantikan secara kontrak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kurang menarik minat doktor tempatan dan lepasan graduan perubatan untuk terus berkhidmat dalam negara.
Katanya, sistem tawaran perkhidmatan secara kontrak sepatutnya hanya sesuai untuk doktor perubatan yang didatangkan dari luar negara.
“Kerajaan terutama KKM tiada pilihan melainkan perlu bersaing rapat dengan tawaran perkhidmatan yang tinggi di negara-negara maju.
“Doktor tempatan dan lepasan graduan perubatan negara ini lebih memilih berhijrah ke luar negara kerana kurang berminat dengan sistem perkhidmatan secara kontrak yang ditawarkan oleh KKM,” katanya.
Menurut Masiung, tawaran gaji lumayan serta kadar tukaran wang asing yang lebih tinggi di beberapa negara maju turut menarik minat doktor Malaysia berhijrah.
“Saya pernah berkongsi luahan doktor perubatan Malaysia berkhidmat di Singapura. Mereka beranggapan, kerjaya doktor tiada masa depan di negara ini selepas KKM menawarkan perkhidmatan kontrak dengan nilai yang rendah tanpa fleksibiliti kerja,” jelasnya.
Beliau berkata, keperluan untuk menstruktur semula tawaran kerjaya doktor menjadi semakin mendesak susulan ramalan Malaysia bakal berdepan kekurangan lebih 13,000 pakar perubatan menjelang 2030.
Penganalisis BIMB Securities Research meramalkan Malaysia dijangka mengalami kekurangan lebih 13,000 pakar perubatan dalam tempoh berkenaan.
Masiung berkata negara, terutama wilayah Sabah dan Sarawak, sudah hampir mencapai sasaran nisbah seorang doktor bagi setiap 400 penduduk.
Bagaimanapun, katanya, pembangunan pesat infrastruktur kesihatan termasuk pembinaan hospital baharu dilihat tidak seiring dengan keupayaan negara melahirkan tenaga pakar.
Katanya, usaha mengekalkan jururawat berpengalaman turut menjadi semakin sukar berikutan persaingan tawaran pekerjaan di luar negara, selain persaingan mendapatkan tenaga kerja antara hospital kerajaan dan swasta.
Kelmarin, Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) Cawangan Sabah, Dr. Brandon Patrick Senagang turut menyuarakan kebimbangan berhubung isu kritikal kekurangan doktor di seluruh Sabah.
Menurut Masiung, masalah Malaysia bukanlah kekurangan graduan perubatan, tetapi kekurangan pakar dan cabaran mengekalkan jururawat berpengalaman yang menjadi tulang belakang hospital kerajaan.
Pengerusi Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) itu berharap isu serius kekurangan doktor dapat ditambah baik menjelang pembentangan Belanjawan negara hujung tahun ini.
Masiung yang juga ADUN Kuamut dijangka membawa isu kekurangan pakar perubatan di negara ini, khususnya Sabah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadualkan pada awal November ini.































