Ellron bersama bekas pemimpin dan ahli STAR dari Sook, Nabawan dan Tulid menyerahkan borang keahlian menyertai Gagasan Rakyat kepada Abdul Ghani
KENINGAU: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Alfred Angin bersama bekas pemimpin dan ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Sook, Nabawan dan Tulid, menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sekali gus memperkukuh parti itu di Bahagian Pensiangan.
Ellron menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Mohd. Yassin selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) PGRS Bahagian Pensiangan di Hotel Sento, di sini, semalam.
Beliau turut dilantik sebagai AJK Gagasan Rakyat Bahagian Pensiangan selepas menyertai parti berkenaan.
Abdul Ghani berkata, perubahan struktur daripada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Parlimen menjadikan pentadbiran parti lebih mencabar, namun pada masa sama memberi ruang untuk memperkemas persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Beliau berkata, Gagasan Rakyat Bahagian Pensiangan turut mewujudkan Jawatankuasa Penyelaras di peringkat DUN sebagai langkah persediaan memperkukuh jentera pilihan raya menghadapi PRU16.
Katanya, pelantikan AJK Penaja turut mengambil kira kedudukan DUN dan setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM), manakala penubuhan cawangan Gagasan Rakyat hendaklah berasaskan PDM di setiap kawasan berkenaan.
Abdul Ghani mengalu-alukan penyertaan Ellron serta bekas pemimpin dan ahli STAR ke dalam Gagasan Rakyat, yang disifatkannya sebagai tambahan kekuatan kepada parti di Bahagian Pensiangan.
































