TAMPARULI: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyeru supaya cadangan penganjuran konsert Israel Houghton bersama Israel & New Breed di Kota Kinabalu dipertimbangkan secara menyeluruh, adil dan berhemah dengan mengambil kira sifat sebenar acara berkenaan.
Ketua Penerangan PBS, Dr. Bonaventure Boniface berkata, parti itu mengambil maklum pelbagai pandangan yang dibangkitkan berhubung cadangan penganjuran konsert tersebut.
Beliau berkata, PBS menghormati kebimbangan yang disuarakan oleh semua pihak, termasuk pandangan pihak berkuasa berkaitan aspek keselamatan dan sensitiviti semasa.
“Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, kami berharap perkara ini dapat dipertimbangkan secara menyeluruh, adil dan berhemah dengan mengambil kira sifat sebenar acara tersebut.
“Sekiranya program berkenaan semata-mata merupakan acara muzik dan lagu-lagu pujian Kristian, perkara tersebut sewajarnya turut diambil kira dalam membuat sebarang keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Bonaventure Boniface
Dr. Bonaventure berkata, PBS juga berpandangan bahawa nama peribadi seseorang artis tidak seharusnya dengan sendirinya menjadi asas kepada sebarang tanggapan mengenai tujuan sesuatu acara.
Beliau berkata, Israel Houghton merupakan seorang penyanyi gospel dari Amerika Syarikat dan “Israel” adalah nama peribadinya.
Katanya, Sabah sejak sekian lama dikenali sebagai negeri yang masyarakatnya hidup dalam suasana saling menghormati antara agama, kaum dan budaya.
“Nilai keharmonian ini perlu terus dipelihara dengan memberi ruang kepada setiap masyarakat mengamalkan kepercayaan masing-masing secara aman dan bertanggungjawab, tertakluk kepada undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Justeru, beliau berkata, PBS menyerahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk membuat penilaian sewajarnya berhubung aspek kelulusan, keselamatan dan ketenteraman awam.
“Sekiranya semua syarat dapat dipenuhi dan sebarang kebimbangan keselamatan dapat ditangani dengan sewajarnya, kami berharap pertimbangan yang adil dapat diberikan kepada penganjuran acara tersebut.
“Dalam isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat, semua pihak wajar mengelakkan kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham dan sebaliknya mengutamakan dialog, sikap saling menghormati serta keharmonian yang selama ini menjadi kekuatan masyarakat Sabah,” katanya.
































