KOTA KINABALU (Bernama): Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) akan melabur kira-kira RM120 juta bagi membangunkan barisan pengeluaran kedua di Loji Teluk Sepanggar sebagai langkah meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memperkukuh kestabilan bekalan simen di Sabah.
Pengurus Besar CIS Sumardi Mohd Yusuf berkata barisan pengeluaran baharu itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat sebanyak 550,000 tan metrik setahun dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2028.
Katanya projek itu telah mendapat kelulusan lembaga pengarah CIS manakala sebuah firma perunding kejuruteraan turut dilantik bagi menyediakan khidmat perundingan untuk pelaksanaan projek berkenaan.
“Barisan pengeluaran kedua ini penting bagi membolehkan CIS memenuhi peningkatan permintaan simen, selain memastikan pengeluaran dan bekalan simen beg 50 kilogram (kg) dapat diteruskan jika satu daripada barisan pengeluaran mengalami gangguan.
“Ia juga akan berfungsi sebagai barisan sokongan, menyediakan kapasiti penyimpanan bahan mentah tambahan serta memberi ruang mencukupi untuk kerja-kerja penyelenggaraan loji dilaksanakan dengan lebih cekap dan teratur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya pelaburan untuk barisan pengeluaran kedua itu merupakan antara langkah jangka panjang CIS bagi memperkukuh kapasiti dan daya tahan operasi dalam memenuhi keperluan bekalan simen dan menyokong pembangunan Sabah.
Sementara itu, Sumardi berkata bekalan simen beg 50 kg di kawasan Pantai Barat Sabah masih mengalami gangguan berikutan kelewatan penghantaran klinker yang merupakan bahan mentah bagi pengeluaran simen.
Katanya gangguan itu berpunca daripada insiden sebuah kapal pengangkut klinker yang terkandas ketika melalui laluan menuju ke laut terbuka berhampiran Pelabuhan Tanjung, Kalimantan Selatan.
Beliau berkata kapal berkenaan selesai memuatkan kira-kira 20,000 tan metrik klinker sebelum insiden berlaku menyebabkan penghantaran bahan mentah itu tidak dapat tiba mengikut jadual.
“Penghantaran gantian klinker dijangka tiba pada minggu kedua Oktober yang membantu proses pemulihan pengeluaran dan bekalan simen secara berperingkat,” katanya. — BERNAMA
































