Julita (tengah) menyampaikan plak BeBAs kepada Dr. James, sambil diperhatikan oleh Noemi (kiri), Maria (kedua dari kiri) dan Dr. William.
PENAMPANG: Program Premis Bersih dan Bebas Asap Rokok (BeBAs) diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha Sabah memperkukuh aspek keselamatan makanan, kebersihan serta persekitaran bebas asap rokok di premis makanan di seluruh negeri.
Program ini menggabungkan usaha memastikan premis makanan bersih dan selamat, termasuk pematuhan terhadap piawaian keselamatan makanan serta pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS), di samping langkah memastikan premis bebas daripada aktiviti merokok dan penggunaan vape bagi menyediakan persekitaran yang lebih sihat kepada pelanggan dan pengendali makanan
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, BeBAs merupakan usaha kesihatan awam yang dilaksanakan secara berterusan dengan melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), pihak berkuasa tempatan, pengendali makanan serta komuniti.
“Program BeBAs pertama dilaksanakan pada 2024 sebagai projek rintis di Bandar Kubota, Tawau, diikuti siri kedua di Heritage Street, Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu pada 2025.
“Tahun ini, siri ketiga diadakan di Penampang, mencerminkan usaha berterusan kita untuk menggalakkan premis makanan yang lebih bersih, selamat dan bebas asap rokok di Sabah,” katanya ketika merasmikan Program BeBAs Siri 3 Tahun 2026 di Funky Farm Food Court, Kepayan, di sini hari ini.
Julita berkata, program berkenaan turut menggalakkan pengendali makanan memenuhi keperluan bagi mendapatkan pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS), termasuk mendapatkan suntikan vaksin anti-tifoid serta Sijil Latihan Pengendali Makanan.
Mengenai aspek bebas asap rokok, beliau berkata, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) memperkukuh usaha melindungi orang awam daripada kesan buruk akibat merokok dan penggunaan vape.
Beliau berkata, program berkenaan turut mencatatkan pematuhan 100 peratus terhadap keperluan mempamerkan tanda larangan merokok dan penggunaan vape.
Menurutnya, program BeBAs mencerminkan pendekatan Whole-of-Nation, dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pengendali makanan dan komuniti berkongsi tanggungjawab dalam meningkatkan kesihatan awam.
“Kebersihan, keselamatan makanan dan persekitaran bebas asap rokok perlu menjadi sebahagian daripada budaya harian kita, bukan sekadar amalan ketika pemeriksaan atau program tertentu. Ini merupakan tanggungjawab bersama dalam mewujudkan premis makanan yang lebih selamat dan sihat untuk semua,” katanya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. William Gotulis; Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong; Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Noemi Dyena John Tren; dan pemilik Funky Farm Food Court, Datuk Dr. James Jeremiah.






























