Hajiji (kanan) dibawa melihat kemudahan di JSK Mantanani Island Resort oleh Pengarah Urusan JSK Group of Companies, Datuk Johnny Wong (dua kanan).
KOTA BELUD: Sabah berada di landasan untuk mencapai sasaran empat juta pelawat tahun ini, selepas merekodkan kira-kira 2.6 juta ketibaan setakat Ogos, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 1.1 juta ketibaan antarabangsa dan 1.5 juta pelawat domestik.
“Dengan prestasi lebih kukuh pada suku keempat, saya percaya sasaran itu masih boleh dicapai,” katanya pada majlis perasmian JSK Mantanani Island Resort di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri kekal komited terhadap pertumbuhan sektor pelancongan yang berdaya saing, inklusif dan mampan.
Beliau menegaskan bahawa Pelancongan Sabah Blueprint akan membantu menetapkan hala tuju yang jelas, menangani cabaran seperti kesalinghubungan penerbangan, melindungi alam sekitar dan memperluaskan penyertaan masyarakat tempatan.
“Untuk mencapai matlamat ini memerlukan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta. Sabah mempunyai kelebihan luar biasa, daripada pulau dan pantainya hingga hutan hujan, gunung, hidupan liar, budaya dan masakan.
“Dengan perancangan yang baik, pengurusan profesional dan pemasaran berkesan, kita boleh berkongsi kelebihan ini dengan lebih ramai pelawat sambil melindungi alam sekitar dan menghormati kepentingan masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan resort seperti JSK Mantanani Island Resort bernilai RM160 juta selaras dengan sasaran negeri untuk membawa masuk lebih ramai pelawat serta menyediakan kemudahan pelancongan bertaraf tinggi.
Terletak di perairan luar Kota Belud, resort itu mempunyai 84 vila dan kemudahan mesra alam serta berada pada kedudukan yang baik untuk menarik pelancong yang mencari pengalaman asli.
“Saya juga mengalu-alukan kerjasama resort ini dengan Wyndham Hotels & Resorts. Hubungannya dengan jenama hospitaliti yang diiktiraf di peringkat global dapat memperkenalkan Mantanani kepada pasaran yang lebih luas serta menyokong standard penginapan dan perkhidmatan yang tinggi,” katanya.
Ketua Menteri berkata, manfaat pembangunan pelancongan perlu dirasai jauh melangkaui resort itu sendiri kerana sektor pelancongan mampu mewujudkan pekerjaan, meningkatkan kemahiran serta membuka peluang kepada usahawan tempatan, pembekal, penyedia pengangkutan dan perniagaan lain.
“Saya berharap kejayaan resort ini dapat dikongsi bersama masyarakat Kota Belud dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata, memastikan masyarakat tempatan turut mendapat manfaat daripada pembangunan sedemikian adalah penting kepada pertumbuhan pelancongan mampan, yang merupakan salah satu teras utama agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kita mesti mengalu-alukan pelawat sambil melindungi warisan semula jadi dan budaya kita, supaya generasi akan datang terus dapat menikmatinya,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri turut memperkemas strateginya bagi mengukuhkan daya tarikan dan daya tahan Sabah sebagai destinasi dalam persediaan menghadapi Tahun Melawat Sabah 2027.
Beliau berkata, Tahun Melawat Sabah 2027 bukan sekadar kempen pelancongan, sebaliknya merupakan agenda bersama seluruh negeri.
“Kejayaannya bergantung kepada komitmen, kerjasama dan penyertaan aktif semua pihak, termasuk kerajaan, pemain industri pelancongan, sektor swasta, masyarakat tempatan dan rakyat Sabah.
“Kita semua mempunyai peranan dalam mencapai matlamat Tahun Melawat Sabah 2027. Dengan bekerjasama, kita dapat mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi yang berdaya saing, mampan dan bertaraf dunia untuk pelawat dari Malaysia dan luar negara,” katanya.






























