Nancy Shukri
PUTRAJAYA (Bernama): Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti keperluan memperincikan peruntukan berkaitan salah laku seksual melangkaui batas kanak-kanak, termasuk isu pemangsaan dan amalan grooming (pengantunan) sesama rakan sebaya, dalam cadangan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001.
Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata perhatian terhadap perkembangan terkini melibatkan perlakuan kanak-kanak di bawah umur, termasuk kes terbaharu melibatkan remaja seawal usia 13 tahun dalam penghasilan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam Ops Pedo 3.0.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang peruntukan undang-undang yang bakal dimasukkan perlu diperhalusi secara menyeluruh bagi mengelakkan implikasi perundangan yang tidak wajar terhadap golongan berkenaan.
“Kanak-kanak ditakrifkan mereka yang berumur 18 tahun ke bawah, namun ada perbuatan yang dikerjakan melangkaui batas kebiasaan seorang kanak-kanak.
“Namun, kita perlu kaji teliti kerana tidak mahu berlaku double jeopardy(pendakwaan dua kali) terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Kesihatan Reproduktif Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai tempoh pembentangan rang undang-undang pindaan itu, Nancy berkata proses penggubalan mengambil masa kerana kerajaan sentiasa mengambil kira isu-isu semasa serta input libat urus daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan akta berkenaan benar-benar komprehensif.
“Sekiranya belum ada dalam undang-undang sedia ada, kita akan masukkan input berkenaan untuk diterjemahkan dalam bentuk undang-undang,” katanya sambil menambah KPWKM sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri dalam merangka pindaan berkenaan.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia mendedahkan penglibatan kanak-kanak semuda 13 tahun dalam penghasilan kandungan animasi berunsur seksual, susulan penahanan lapan kanak-kanak berusia antara 13 hingga 18 tahun dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 14 hingga 16 Sept lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata siasatan mendapati sebahagian suspek bukan sahaja memuat turun bahan CSAM, malah menghasilkan sendiri kandungan animasi sebelum diedarkan atau dijual secara dalam talian.
Pada 21 Julai lepas, Nancy berkata pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 sedang diteliti berasaskan 159 syor yang dikemukakan Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC).
Beliau berkata syor yang diterima menerusi Concluding Observations itu meneliti pelbagai aspek, termasuk penambahbaikan kerangka perundangan, perlindungan daripada penderaan dan pelaksanaan hak kanak-kanak secara lebih menyeluruh. — BERNAMA






























