KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan memasuki bab baharu dengan menjadikan perpaduan, kestabilan dan integriti sebagai tiga tonggak utama kepimpinan parti, kata Presidennya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, Kongres PBS Ke-41 mesti menjadi titik permulaan kepada satu bab baharu parti itu bagi memastikan PBS terus relevan dalam menghadapi perubahan politik, komunikasi dan generasi.
“Tiada siapa yang menang dan tiada siapa yang kalah. Yang mesti menang ialah Parti Bersatu Sabah.
“Selepas proses pemilihan selesai, kita kembali sebagai satu keluarga, satu parti dan satu perjuangan. Saya mahu menjadi Presiden kepada seluruh keluarga PBS,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres PBS Ke-41 di Hakka Hall di sini hari ini.

Dr. Joachim berkata, kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memimpin PBS sebagai Presiden, termasuk kemenangan tanpa bertanding, bukan kemenangan peribadi tetapi amanah besar untuk menyatukan, memperkukuhkan dan membawa PBS ke hadapan.
“Kita mungkin mempunyai pandangan dan pendekatan yang berbeza, tetapi matlamat kita tetap sama: memperkukuhkan PBS dan memperjuangkan masa depan Sabah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili atas kepimpinan, pengorbanan, kesetiaan dan khidmatnya kepada PBS.
Katanya, Dr. Maximus telah memimpin PBS melalui pelbagai cabaran dan perubahan landskap politik Sabah serta Malaysia, termasuk ketika parti melalui zaman sukar.
Dr. Joachim turut mengiktiraf jasa Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Pengasas dan Presiden pertama PBS, serta seluruh generasi terdahulu yang membina asas perjuangan parti.
“Kepimpinan baharu akan meneruskan yang baik, memperbaiki yang perlu dan berani melakukan pembaharuan untuk membawa PBS melangkah lebih jauh.
“Kita menghormati sejarah, tetapi kita tidak boleh hidup dengan sejarah semata-mata. Generasi kita pula mesti mencipta sejarah baharu PBS,” katanya.
Menyentuh sejarah PBS, Dr. Joachim berkata, parti itu ditubuhkan pada 1985 dan telah melalui perjalanan panjang yang penuh dengan kejayaan, cabaran, pengorbanan dan kebangkitan.
Katanya, ketika baru berusia 47 hari, PBS menyertai pilihan raya negeri 1985 dan memenangi 26 daripada 48 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
Pada pilihan raya 1986, PBS meningkatkan kemenangan kepada 34 daripada 48 kerusi, manakala pada 1990 memenangi 36 daripada 48 kerusi.
“Angka-angka ini mengingatkan kita kepada satu hakikat penting: apabila rakyat Sabah bersatu, PBS kuat,” katanya.
Beliau berkata, PBS pernah menjadi kerajaan, pembangkang, melalui perpecahan dan berada di ambang kehilangan kekuatan, namun terus bertahan kerana ahli, Wanita, Pemuda, Beliawanis, Bahagian, Cawangan dan akar umbi tidak pernah berhenti percaya kepada perjuangan parti.
Menurutnya, pada 2002, PBS kembali menyertai kerajaan Barisan Nasional dalam usaha menstabilkan politik tempatan dan menghentikan sistem penggiliran Ketua Menteri.
Katanya, prinsip asas PBS sepanjang perjalanan itu tidak berubah, termasuk mempertahankan demokrasi, martabat manusia, perpaduan semua kaum, hak Sabah, adat dan budaya, kebebasan beragama serta kerjasama politik yang membawa manfaat kepada rakyat dan negeri.
Dr. Joachim berkata, selama lebih empat dekad, PBS turut membawa banyak isu yang akhirnya menjadi sebahagian daripada arus utama perjuangan Sabah.
Antaranya mempertahankan Pesta Kaamatan dan identiti budaya rakyat Sabah, memperjuangkan kestabilan politik, isu pendatang tanpa izin dan Projek IC, menyokong usaha penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, serta memperjuangkan Borneonisasi dan penurunan kuasa.
PBS juga memperjuangkan hak Sabah di bawah MA63, menyokong Undang-Undang Anti-Lompat Parti, kepentingan pendidikan termasuk pendirian mengenai UEC, serta kepentingan ekonomi, tenaga dan hak negeri.
Mengenai MA63, Dr. Joachim berkata, perjuangan itu masih belum selesai.
“Berdasarkan perkembangan yang dibincangkan melalui platform rasmi MA63, 13 daripada 29 perkara telah diselesaikan sepenuhnya, sementara beberapa perkara lain berada pada peringkat penyelesaian separa atau interim.
“Ini bermakna perjuangan kita masih panjang. PBS akan terus menjadi suara yang aktif, relevan dan konsisten dalam mempertahankan hak serta kepentingan Sabah.
“Kita tidak mahu MA63 sekadar menjadi slogan politik. Kita mahu pelaksanaan yang nyata dan hasil yang boleh dirasai rakyat,” katanya.
Beliau berkata, PBS juga perlu berani mengakui cabaran yang dihadapi, termasuk persepsi sebagai parti orang lama dan hakikat bahawa sebahagian generasi muda kurang mengenali sejarah serta perjuangan PBS.
“Cara kerja politik berubah, komunikasi berubah dan medan politik kini banyak berlaku melalui platform digital.
“Kita tidak boleh marah apabila orang mengatakan PBS sudah tua. Parti yang berusia 41 tahun tidak semestinya parti yang tua. Parti menjadi tua apabila cara berfikirnya tidak berubah.
“Parti menjadi lemah apabila cawangannya tidak bergerak. Parti menjadi tidak relevan apabila pemimpinnya berhenti mendengar rakyat,” katanya.
Dr. Joachim berkata, hala tuju kepimpinan PBS akan dibina atas tiga tonggak utama iaitu Perpaduan, Kestabilan dan Integriti.
Mengenai perpaduan, beliau berkata, PBS mesti terus menjadi rumah politik yang menyatukan semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama, daerah atau latar belakang.
“PBS sejak awal ialah sebuah parti berbilang kaum, dan perpaduan semua komuniti adalah sebahagian daripada DNA parti,” katanya.
Beliau berkata, PBS perlu memperkukuhkan penyertaan masyarakat KDM, memperluaskan penyertaan masyarakat Melayu dan Bumiputera Islam, mendapatkan kembali keyakinan masyarakat Cina, membuka ruang kepada profesional, memperkasakan wanita dan membawa lebih ramai generasi muda ke dalam PBS.
“Masyarakat Cina telah menjadi salah satu rakan perjuangan penting PBS sejak penubuhan parti. Kita menghargai sokongan dan sumbangan masyarakat Cina kepada PBS dan kepada pembangunan Sabah.
“Kita mahu lebih ramai pemimpin Cina, profesional, usahawan, wanita dan generasi muda tampil bersama PBS. Kita mahu mendengar suara mereka dan berjuang bersama mereka.
“PBS bukan milik satu kaum. PBS milik semua yang percaya kepada perjuangan Sabah,” katanya.
Dr. Joachim berkata, perpaduan tidak bermaksud semua pihak mesti sentiasa mempunyai pendapat yang sama, sebaliknya apabila keputusan dibuat, semua pihak perlu bergerak sebagai satu pasukan.
“Perbezaan pandangan jangan menjadi alasan untuk berpecah,” katanya.
Mengenai kestabilan, beliau berkata, Sabah memerlukan kestabilan politik untuk membangun.
“Tanpa kestabilan, pelabur hilang keyakinan, projek pembangunan terganggu, peluang pekerjaan terjejas dan akhirnya rakyat yang menanggung akibat,” katanya.
Dr. Joachim berkata, dalam PRN Sabah 2025, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul sebagai blok terbesar dengan 29 daripada 73 kerusi DUN, manakala jumlah keluar mengundi direkodkan sekitar 64.35 peratus, melibatkan lebih 1.14 juta pengundi.
Dalam aspek kewangan negeri, katanya, hasil sebenar Sabah bagi 2024 mencecah sekitar RM6.842 bilion.
“Kekuatan fiskal dan kestabilan pentadbiran ini mesti diterjemahkan kepada pembangunan, peluang pekerjaan, kemudahan asas dan peningkatan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Dalam semangat kestabilan itu, Dr. Joachim menegaskan PBS akan terus kekal bersama GRS.
“PBS akan terus menjadi rakan yang setia, konstruktif dan berprinsip dalam GRS. Kita mahu GRS yang kuat, dan pada masa yang sama kita mahu PBS yang kuat.
“GRS yang kuat memerlukan parti-parti komponennya kuat. PBS yang kuat akan memperkukuhkan GRS,” katanya.
Beliau berkata, PBS akan menyokong kestabilan Kerajaan Negeri sambil terus bersuara mengenai kepentingan Sabah, MA63, pembangunan luar bandar, pendidikan, ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.
“Kesetiaan dalam gabungan tidak bermaksud kita kehilangan identiti. Kita bersama GRS, tetapi kita tetap PBS,” katanya.
Mengenai integriti, Dr. Joachim berkata, politik tanpa integriti akhirnya akan kehilangan kepercayaan rakyat.
“PBS mesti menjadi parti yang pemimpinnya dihormati kerana amanah, bertanggungjawab, telus, bekerja dan dekat dengan rakyat.
“Jawatan dalam PBS bukan hadiah. Jawatan adalah amanah,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin mesti turun padang, mendengar masalah rakyat dan membantu mencari penyelesaian, manakala Bahagian dan Cawangan mesti aktif.
“Setiap keputusan mesti mengutamakan kepentingan parti, rakyat dan Sabah, bukan kepentingan peribadi.
“Kita mahu PBS dihormati bukan semata-mata kerana sejarahnya, tetapi kerana kualiti, integriti dan prestasi pemimpinnya,” katanya.
Dr. Joachim berkata, PBS perlu bertransformasi jika mahu kekal relevan.
“Transformasi bukan bermaksud membuang tradisi atau melupakan sejarah. Transformasi bermaksud menggunakan pengalaman lama dengan kaedah baharu,” katanya.
Beliau berkata, perubahan dalam Perlembagaan PBS menetapkan Persidangan PBS dibuat dalam tiga tahun sekali, manakala acara tahunan PBS akan dibuat selari dengan sambutan ulang tahun PBS pada setiap Mac.
“Sambutan boleh dibuat sama ada melalui konvensyen PBS atau seminar berkala. Saya serahkan kepada kebijaksanaan Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua-Ketua Bahagian untuk melaksanakannya,” katanya.
Dr. Joachim berkata, PBS juga mesti didigitalkan, termasuk sistem keahlian, pangkalan data, komunikasi antara pusat, Bahagian dan Cawangan serta pengurusan pilihan raya.
Selain itu, katanya, PBS perlu melahirkan pelapis melalui program seperti Political Cadet atau Akademi Kepimpinan PBS untuk mengenal pasti dan melatih pemimpin muda dalam politik, dasar awam, komunikasi, ekonomi dan pengurusan pilihan raya.
Beliau turut mahu Think Tank PBS diperkukuhkan supaya parti politik itu mampu menawarkan penyelesaian dan bukan hanya memberi reaksi terhadap isu.
“PBS perlu menghasilkan dasar dan idea mengenai MA63, ekonomi Sabah, pendidikan, peluang pekerjaan, kos sara hidup, keselamatan makanan, pembangunan luar bandar, teknologi, tenaga dan masa depan generasi muda,” katanya.
Mengenai generasi baharu, Dr. Joachim berkata, PBS tidak boleh mengharapkan golongan muda menyokong parti hanya kerana sejarah 1985.
“Kita mesti bercakap mengenai pendidikan, TVET, pekerjaan, gaji, perumahan, keusahawanan, ekonomi digital, kecerdasan buatan, gig economy dan peluang membina kehidupan yang baik di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda dan Beliawanis PBS mesti diberikan ruang menjadi pencipta idea dan pemimpin, bukan sekadar pelaksana program.
“Generasi muda adalah aset terbesar parti. Kita perlu memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti, peluang mengembangkan kemahiran, kesedaran politik dan ruang untuk terlibat secara aktif dalam proses demokrasi,” katanya.
Mengenai hak Sabah, Dr. Joachim berkata, PBS tidak akan meninggalkan perjuangan asalnya.
“Tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah juga mesti terus diperjuangkan melalui kerangka Perlembagaan dan proses perundingan yang tegas.
“Hak Sabah bukan hadiah. Hak Sabah adalah hak yang telah dipersetujui ketika Malaysia dibentuk,” katanya.
Beliau berkata, PBS akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan apabila kerjasama membawa manfaat kepada Sabah, namun tetap berani menyatakan pendirian apabila kepentingan dan hak Sabah perlu dipertahankan.
Dr. Joachim turut menyeru seluruh kepimpinan dan ahli PBS memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuhkan parti.
“Presiden tidak boleh membina PBS seorang diri. Majlis Tertinggi tidak boleh membina PBS tanpa Bahagian. Bahagian tidak boleh bergerak tanpa Cawangan. Dan Cawangan tidak bermakna tanpa ahli,” katanya.
Beliau meminta pemimpin senior terus menjadi sumber pengalaman dan kebijaksanaan, Wanita terus menjadi kekuatan akar umbi, manakala Pemuda dan Beliawanis menjadi tenaga perubahan dan jambatan kepada generasi baharu.
Pemimpin Bahagian pula diminta mengaktifkan Cawangan dan tidak menunggu pilihan raya untuk turun padang.
“PBS mesti menjadi parti yang aktif, relevan dan konsisten. Kita mesti hadir bersama rakyat setiap hari, bukan hanya ketika pilihan raya.
“PBS yang kuat bermula daripada ahli yang bersatu, Cawangan yang aktif dan pemimpin yang bekerja,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Dr. Joachim berkata, 41 tahun pertama PBS merupakan cerita tentang kelahiran, perjuangan, kegemilangan, kejatuhan dan kebangkitan.
“Persoalan kita sekarang ialah, ‘Apakah yang akan kita lakukan untuk memastikan PBS terus relevan untuk 20 atau 30 tahun akan datang?’
“Jawapannya bermula daripada kita.
“Kita tidak akan membuang sejarah. Kita akan membina di atas sejarah.
“Kita tidak akan melupakan pemimpin lama. Kita akan menyatukan pengalaman mereka dengan keberanian generasi baharu.
“Kita tidak akan meninggalkan prinsip PBS. Kita akan memperbaharui cara kita memperjuangkannya,” katanya.
Beliau berkata, PBS akan terus bersama GRS, mempertahankan kestabilan kerajaan dan bersama-sama membangunkan Sabah.
Pada masa sama, katanya, PBS akan membina parti yang lebih kuat, lebih moden, lebih muda, benar-benar berbilang kaum, berani bersuara, dekat dengan rakyat dan berintegriti.
“Perpaduan memberikan kita kekuatan. Kestabilan memberikan kita kemajuan. Integriti memberikan kita kepercayaan.
“Inilah tiga tonggak kepimpinan kita,” katanya.
































