Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam memperjuangkan penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pendirian yang dibawa Hajiji dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) baru-baru ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan hak Sabah bukan sekadar dibincangkan, tetapi diterjemahkan kepada penyelesaian nyata yang memberikan manfaat kepada rakyat.
“Pendirian yang dibawa oleh Ketua Menteri dalam Mesyuarat MTPMA63 baru-baru ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan hak-hak Sabah tidak sekadar dibincangkan, tetapi diterjemahkan kepada penyelesaian yang nyata serta memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Nizam berkata, tuntutan 40 peratus bukan tuntutan baharu dan bukan soal ihsan daripada mana-mana pihak, sebaliknya merupakan hak Sabah yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, tuntutan itu sewajarnya diselesaikan dengan penuh tanggungjawab, adil serta dalam semangat sebenar pembentukan Malaysia.
Gagasan Rakyat, katanya, mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini sebagai perkembangan positif hasil rundingan berterusan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Namun demikian, bayaran interim ini tidak menutup tuntutan 40 peratus yang masih perlu dimuktamadkan sebagaimana yang terus ditegaskan oleh Ketua Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam berkata, Gagasan Rakyat turut menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.
“Suara Sabah perlu mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dalam institusi Parlimen, selaras dengan kedudukan dan semangat Sabah serta Sarawak ketika Malaysia dibentuk pada tahun 1963,” katanya.
Beliau berkata, Gagasan Rakyat turut menyambut baik usaha mempercepatkan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan serta perkara-perkara lain yang masih belum diselesaikan di bawah MA63.
Menurutnya, semua perkara itu mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan dan kemampuan negeri untuk menentukan serta mengurus kepentingannya dengan lebih berkesan.
Nizam berkata, Gagasan Rakyat percaya pendekatan yang dibawa Hajiji selama ini jelas, iaitu tegas mempertahankan hak Sabah, namun pada masa sama memilih jalan rundingan, kerjasama dan hubungan kerajaan dengan kerajaan bagi menghasilkan penyelesaian konkrit.
“Pendekatan ini telah menghasilkan kemajuan dalam beberapa tuntutan MA63 sebelum ini dan perlu diteruskan sehingga perkara-perkara yang masih tertangguh dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Bagi Gagasan Rakyat, katanya, soal hak Sabah mengatasi kepentingan politik kepartian dan apa juga yang menjadi hak negeri serta rakyat Sabah mesti diperjuangkan secara konsisten.
“Kita menghargai keterbukaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri untuk meneruskan rundingan mengenai perkara-perkara yang belum selesai.
“Pada masa yang sama, Gagasan Rakyat berdiri teguh bersama Ketua Menteri dalam pendirian bahawa penyelesaian hak 40 peratus Sabah perlu diberikan keutamaan dan disegerakan,” katanya.
Nizam berkata, Sabah tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya, sebaliknya hanya mahu apa yang telah dipersetujui dan diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dilaksanakan dengan adil, konsisten dan penuh tanggungjawab.






























