Barisan kepimpinan baharu Kesatuan Jurutera-Jurutera (KJJ) Sabah Electricity.
KOTA KINABALU: Kesatuan Jurutera-Jurutera (KJJ) Sabah Electricity mengorak langkah memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik syarikat apabila Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kesatuan itu pada Sabtu lalu menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan baharu bagi menerajui KJJ untuk penggal akan datang.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn. Bhd., Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Jaafar yang menyeru seluruh ahli kesatuan agar terus memperkukuhkan perpaduan serta memainkan peranan aktif dalam menjaga kebajikan ahli di samping menyokong agenda transformasi syarikat menerusi RESET 2030.
Beliau berkata, hubungan erat antara pihak pengurusan dan kesatuan merupakan asas penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni, produktif dan progresif.
“Kesatuan bukan sahaja menjadi platform memperjuangkan kebajikan ahli, malah merupakan rakan strategik kepada pengurusan dalam membina organisasi yang lebih kukuh dan berdaya saing.
“Saya berharap KJJ akan terus memperkasakan peranannya serta meningkatkan kesedaran mengenai manfaat keahlian agar lebih ramai jurutera mendapat manfaat daripada platform ini,” katanya.
Mohd. Yaakob turut menyeru jurutera Sabah Electricity supaya terus meningkatkan kompetensi profesional dan membina reputasi sebagai tenaga pakar yang dihormati bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
Mesyuarat itu turut menyaksikan Jurutera Kanan, Ahmad Syazwan Saidin dipilih sebagai Yang Dipertua KJJ yang baharu bagi menerajui kesatuan untuk sesi akan datang.
Dalam ucapan sulungnya, Ahmad Syazwan merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli kesatuan dan berikrar untuk memperkukuh peranan KJJ sebagai platform yang memperjuangkan kebajikan, pembangunan profesional serta kepentingan jurutera Sabah Electricity.
“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli KJJ. Kepimpinan baharu ini akan meneruskan usaha memperkukuh hubungan baik dengan pihak pengurusan demi memastikan kebajikan ahli sentiasa diberi perhatian, di samping menyokong segala inisiatif strategik syarikat.
“KJJ akan terus menjadi platform yang menyatukan warga kejuruteraan dalam melahirkan tenaga profesional yang kompeten, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran industri tenaga pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, KJJ juga akan terus memperkasakan pembangunan profesional ahlinya melalui program peningkatan kompetensi, perkongsian ilmu serta penglibatan aktif dalam pelbagai inisiatif yang menyokong aspirasi syarikat.
































