KOTA KINABALU: Sebuah jambatan di KM2.850, Jalan Tun Fuad Stephen (Tanjung Aru) ditutup serta-merta bermula jam 12 tengah hari hari ini selepas pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah menemui kerosakan struktur yang serius pada lantai konkrit jambatan berkenaan.
JKR Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan segera itu terpaksa dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut kenyataan itu, penutupan hanya melibatkan laluan dari Bandaraya Kota Kinabalu menuju ke Teluk Likas.

“Laluan akan dibuka semula selepas kerja-kerja pembinaan lencongan sementara disiapkan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
































