Tun Musa menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif ECoS. Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid (kanan) dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub (kiri).
KOTA KINABALU: Memperkukuh sektor tenaga akan terus menjadi antara keutamaan pembangunan strategik Kerajaan Negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited bukan sahaja untuk memastikan bekalan elektrik sentiasa mencukupi dan boleh dipercayai, malah membangunkan sistem tenaga yang lebih cekap dan mampan demi manfaat generasi akan datang.
“Atas sebab itu, Kerajaan Negeri telah menerima pakai Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) sebagai pelan tindakan strategik bagi pembangunan sektor tenaga Sabah.
“Pelan ini menjadi panduan untuk memperkukuh keselamatan tenaga, mempelbagaikan sumber tenaga, meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta memastikan pembangunan sektor tenaga terus menyokong aspirasi ekonomi negeri.
“Usaha ini bertujuan memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil, boleh dipercayai dan mampu milik, selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya pada peluncuran program Sabah Sustainable Energy for the People di Pacific Sutera Hotel, di sini, hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman menyempurnakan majlis berkenaan.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) atas komitmennya yang berterusan dalam memacu pembangunan sektor tenaga negeri menerusi pendekatan yang progresif, berpandangan jauh dan berteraskan rakyat.
“Hari ini kita menyaksikan satu lagi pencapaian penting dalam merealisasikan aspirasi tersebut dengan pelancaran Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Sabah (SEEAP) dan Program Solar Rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif yang dilancarkan pada hari itu membentuk satu ekosistem yang saling melengkapi bagi menyokong agenda tenaga mampan negeri.
“Pengiktirafan projek-projek solar, pelaksanaan inisiatif Government Lead by Example, kerjasama dengan institusi latihan, pembangunan usahawan menerusi Memorandum Persefahaman bersama Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), serta pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat mencerminkan bahawa pembangunan tenaga mampan memerlukan penyertaan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Pada masa sama, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mahu melihat tenaga digunakan secara lebih berhemah dan cekap dalam semua sektor.
“Kita mahu lebih ramai rakyat Sabah berpeluang menyertai penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Kita juga mahu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan inovasi, pelaburan dan pembangunan industri tenaga yang mampu menjana nilai lebih besar kepada ekonomi negeri.
“Peralihan tenaga bukan sekadar mengenai teknologi. Ia merupakan satu transformasi yang melibatkan dasar, pelaburan, pembangunan modal insan, penyelidikan, inovasi serta kerjasama erat antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan masyarakat.
“Kerjasama sedemikian amat penting bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat nyata kepada rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, seiring usaha mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri akan terus memastikan sektor tenaga berkembang secara terancang, mampan dan berdaya tahan.
“Bagi tujuan itu, kita akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, ECoS, pemain industri, pelabur, institusi kewangan, sektor swasta dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan Sabah mempunyai sistem tenaga yang mampu menyokong pembangunan negeri untuk beberapa dekad akan datang,” katanya.
































