KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau membangkitkan isu berhubung status beberapa projek infrastruktur utama di kawasannya yang masih belum siap, menerusi sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Persoalan tersebut yang ditujukan kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada 2 Julai lalu, menuntut penjelasan sama ada Projek Menaiktaraf Jambatan Sg. Tuaran KM 0.40 Jalan SK Mantobndan beberapa projek jalan luar bandar di Kiulu masih mengikut jadual ataupun sebaliknya.
KKDW dalam satu jawapan bertulis memaklumkan, Projek Menaiktaraf Jambatan Sungai Tuaran di KM 0.40, Jalan SK Mantob kini berada pada tahap kemajuan fizikal 74.3 peratus.
Projek yang diluluskan pada tahun 2023 dengan kos sebanyak RM10 juta ini dijangka siap pada bulan ini (Julai 2026). Pihak kementerian menjelaskan bahawa projek kelolaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah itu telah diberikan Lanjutan Masa (Extension of Time – EOT) berikutan faktor cuaca yang tidak menentu, termasuk hujan lebat dan kejadian banjir kerap yang menjejaskan kerja di tapak.
Sementara itu, bagi Projek Jalan Tudan-Poring-Tebobon pula, ia sedang berada di peringkat pembinaan dengan kemajuan fizikal baru mencapai 25.34 peratus. Projek pembinaan jalan sepanjang 6.0 kilometer mengikut piawaian JKR R2 ini menelan belanja sebanyak RM47.0 juta setelah diluluskan pada tahun 2021.
Menurut KKDW, pelaksanaan projek tersebut dijangka hanya akan siap sepenuhnya pada April 2029 memandangkan ia turut diberikan EOT berikutan proses pengambilan tanah dan kerja-kerja pengalihan utiliti yang masih belum selesai.
Walau bagaimanapun, kementerian berkenaan tidak menyatakan status bagi projek Jalan Mangkaladom – Poring dalam jawapan bertulis, meskipun dibangkitkan dalam soalan asal Ahli Parlimen Tuaran itu.
Untuk rekod, Projek Jambatan Sg. Tuaran KM 0.40 Jalan SK Mantob sepatutnya dijadualkan siap pada 23 Februari lalu, manakala Jalan Tudan – Poring – Tebobon pula sepatutnya siap 14 Julai 2027. Jalan Mantob – Gonipis – Tebobon yang dirujuk sebagai Jalan Mangkaladom – Poring pula sepatutnya siap 24 Mac 2026.
































