KOTA KINABALU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja menjadi platform mengeratkan silaturahim, malah berperanan memperkukuh perpaduan dan semangat kerjasama dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, nilai kebersamaan yang ditonjolkan dalam sambutan perayaan itu perlu terus dipupuk demi kesejahteraan rakyat Sabah.
Katanya, walaupun rakyat Sabah datang daripada pelbagai latar belakang politik, agama dan bangsa, namun tumpuan harus diberikan kepada persamaan iaitu usaha membangunkan negeri secara bersama.
“Kita harus mengambil iktibar daripada beberapa tempat di luar Sabah, di mana perbezaan pendapat membawa kepada konflik. Di Sabah, kita perlu kekal bersatu dan bekerjasama demi kestabilan serta kemajuan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), di sini, semalam.
Ewon berkata, sambutan itu mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama yang kukuh dalam kalangan warga kementerian serta agensi di bawahnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe atas segala sumbangan dan pencapaian sepanjang menerajui kementerian tersebut sebelum ini.
“Saya menghargai segala usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan, yang menjadi asas kepada kesinambungan pembangunan kementerian ini,” katanya.
Katanya lagi, sepanjang hampir lima bulan menerajui kementerian itu, kerjasama padu yang ditunjukkan oleh semua pihak terutama warga kementerian dan agensi amat dihargai dan harus diteruskan.
“Sebagai penjawat awam, kita harus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berharap sambutan perayaan seperti ini akan terus menjadi pemangkin kepada hubungan lebih erat, sekali gus memperkukuh perpaduan dan kerjasama demi kesejahteraan Sabah.


































