Sekadar gambar hiasan
KOTA KINABALU: Jabatan Perikanan Sabah mengeluarkan arahan supaya semua ikan koi dikeluarkan dari kawasan tagal dan perairan umum negeri ini bagi mengekang penularan penyakit serta melindungi spesies tempatan.
Pengarah Perikanan Sabah, Datin Dr. Shuhadah Mustapha berkata, langkah ini dilaksanakan susulan pengesanan penyakit Koi Herpesvirus (KHV) yang telah menjangkiti ikan tempatan di beberapa sungai di negeri ini.
“Penyakit KHV ini menjangkiti ikan koi dan berpotensi menyebabkan kadar kematian yang tinggi serta merebak dengan pantas dalam perairan tertutup mahupun terbuka,” katanya menerusi pekeliling bertarikh 8 April.
Menurut beliau, ikan koi juga dikenal pasti sebagai perumah kepada virus berkenaan, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan kepada spesies ikan tempatan seperti pelian.
Katanya, kewujudan ikan koi di sungai dan kawasan tagal turut memberi ancaman besar kepada keseimbangan ekosistem kerana ia merupakan spesies pendatang yang bukan endemik di Sabah.
Sehubungan itu, semua Pengerusi Jawatankuasa Tagal diarahkan mengenal pasti punca kehadiran ikan koi di kawasan masing-masing serta mengambil tindakan segera mengeluarkan spesies tersebut dari sungai dan kolam yang berkongsi sumber air.
Selain itu, sebarang aktiviti pelepasan atau pemindahan ikan koi ke perairan umum adalah dilarang sama sekali bagi mengelakkan penularan penyakit.
“Semua ikan koi yang dikeluarkan hendaklah dilupuskan mengikut garis panduan biosekuriti yang ditetapkan oleh jabatan,” katanya.
Dalam pada itu, laporan pelaksanaan arahan berkenaan perlu dikemukakan kepada Pejabat Perikanan Daerah dalam tempoh 14 hari dari tarikh pekeliling dikeluarkan.
Jabatan Perikanan Sabah juga akan menjalankan pemantauan berkala bagi memastikan arahan dipatuhi sepenuhnya.
Menurut beliau, kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan kawalan penularan penyakit KHV serta memelihara kelestarian sumber perikanan darat negeri Sabah,” katanya.
Arahan ini berkuat kuasa serta-merta.

































