Bernard J. Dalinting
KARANAAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.37 Karanaan menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Datuk Seri Masidi Manjun berhubung cadangan pembangunan kereta kabel di Gunung Kinabalu, dengan menegaskan bahawa status Tapak Warisan Dunia tidak boleh dikompromikan.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Bahagian PBS Karanaan, Datuk Bernard J. Dalinting berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya pendirian Timbalan Ketua Menteri Sabah II merangkap Menteri Kewangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Karanaan itu yang mempertahankan kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan warisan negeri.
Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan UNESCO terhadap Gunung Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia perlu dipelihara demi kepentingan generasi akan datang.
“Pendirian tegas ini mencerminkan kepimpinan yang bertanggungjawab serta komitmen tinggi dalam melindungi khazanah semula jadi Sabah,” katanya.
Menurut beliau, Gunung Kinabalu bukan sahaja terkenal di peringkat antarabangsa, malah merupakan ekosistem yang sangat sensitif.
Sebarang pembangunan berskala besar seperti projek kereta kabel berpotensi memberi kesan negatif kepada alam sekitar, termasuk kerosakan ekosistem rapuh, kehilangan biodiversiti dan gangguan terhadap habitat hidupan liar di Kinabalu Park.
Selain itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap risiko pelancongan berlebihan yang boleh memberi tekanan kepada infrastruktur, sistem pengurusan sisa dan keseimbangan ekologi kawasan tersebut. Pembangunan yang tidak terkawal juga dikhuatiri menjejaskan keindahan semula jadi serta keaslian Gunung Kinabalu.
Bernard turut menekankan kepentingan nilai budaya dan spiritual gunung tersebut kepada masyarakat tempatan.
“Menurut kepercayaan masyarakat pribumi, Gunung Kinabalu adalah suci dan berkait rapat dengan tradisi serta amalan warisan nenek moyang, termasuk ritual Bobolian.
“Sebarang pembangunan yang mengabaikan nilai-nilai ini berisiko menghakis warisan budaya dan identiti Sabah,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi piawaian pemuliharaan yang ketat boleh menjejaskan status Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus memberi implikasi negatif terhadap reputasi antarabangsa Sabah dan kredibiliti pemeliharaan alam sekitar negeri.
Dalam pada itu, PBS Karanaan berpandangan bahawa manfaat ekonomi daripada projek tersebut perlu dinilai secara teliti bagi memastikan ia tidak menjejaskan industri eko-pelancongan sedia ada serta kehidupan masyarakat tempatan.
Sehubungan itu, PBS Karanaan menyeru agar sebarang cadangan pembangunan dinilai secara berhati-hati, telus dan berasaskan kajian saintifik.
“Pembangunan mesti sentiasa seimbang dengan pemeliharaan agar warisan yang tidak ternilai ini terus terpelihara untuk generasi akan datang,” tambah beliau.
PBS Karanaan turut mengajak semua pihak untuk bersatu dalam usaha melindungi Gunung Kinabalu sebagai simbol kebanggaan, identiti dan warisan semula jadi Sabah.
































