Masidi bersama Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS, Datuk Ir Bacho Pilong (empat dari kiri) serta tetamu kehormat lain pada majlis tersebut.
KOTA KINABALU: Kerjasama baharu dalam projek North Sabah Enhanced Oil Recovery Production Sharing Contract (EOR PSC) disifatkan sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan Sabah dalam sektor tenaga.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jalinan kerjasama itu melibatkan rakan strategik utama termasuk PETRONAS, PETRONAS Carigali dan Hibiscus Petroleum Berhad.
Menurut beliau, kerjasama berkenaan bukanlah sesuatu yang berlaku secara mendadak, sebaliknya melalui proses perbincangan yang panjang dan tersusun sejak kira-kira dua tahun lalu.
“Perjalanan ini bermula dengan perbincangan awal, diikuti pemeteraian Heads of Agreement (HOA) pada November 2025, Farm Out Agreement (FOA) pada Februari, dan seterusnya Joint Operating Agreement (JOA) pada 31 Mac 2026.
“Setiap langkah ini mencerminkan komitmen bersama untuk bergerak ke hadapan secara praktikal dan konstruktif,” katanya ketika berucap pada majlis North Sabah EOR PSC New Partnership Evening di sini, semalam.
Masidi turut menegaskan bahawa Sabah sebelum ini telah mempunyai pengalaman kerjasama dengan PETRONAS Carigali menerusi Samarang PSC sejak April 2023.
Katanya, melalui kerjasama terbaharu ini, Hibiscus Petroleum akan bertindak sebagai operator, manakala SMJ Energy dan PETRONAS Carigali sebagai rakan bukan pengendali.
“Ini mencerminkan rekod kerjasama yang semakin kukuh, berasaskan kepercayaan dan matlamat bersama antara semua pihak terlibat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan kerjasama ini bergantung kepada pelaksanaan di peringkat operasi serta komitmen semua pihak untuk memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh negeri dan rakyat.
“Kerjasama ini memberi peluang untuk kita memperkukuh kedudukan Sabah dalam sektor tenaga, selain mewujudkan peluang bermakna serta memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat sebenar kepada negeri,” katanya.
Masidi turut menekankan kepentingan sikap terbuka, saling menghormati dan kesediaan untuk mendengar serta menyesuaikan diri dalam memastikan kerjasama itu berjaya.
Menurutnya, hubungan kerja yang kukuh dan keserasian antara rakan strategik menjadi faktor penting dalam menjayakan usaha berkenaan.
“Pertemuan seperti ini memberi ruang untuk kita mengenali antara satu sama lain di luar suasana formal, sekali gus mengukuhkan hubungan kerja yang akan membawa kerjasama ini ke hadapan,” katanya.
Beliau berharap semua pihak dapat memanfaatkan peluang tersebut untuk bertukar pandangan, berkongsi idea serta membina semangat kerja berpasukan.
“Saya berharap kita dapat bergerak ke hadapan bukan sekadar sebagai rakan kerjasama, tetapi sebagai satu pasukan,” katanya.

































