Hajiji (empat dari kanan) dan Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui bersama Raisin (lima dari kanan) serta ahli delegasinya.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Pendidikan Sabah yang diketuai oleh Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Semasa pertemuan tersebut, Raisin menyampaikan taklimat mengenai program utama Jabatan Pendidikan Sabah bagi tahun ini serta perancangan untuk tahun hadapan, termasuk kemajuan dan pencapaian memberangsangkan pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Hajiji menyatakan sokongan berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sektor pendidikan, khususnya dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, memperkasa pengurusan sekolah serta memastikan pembangunan holistik pelajar di seluruh Sabah.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik dan berterusan antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Pendidikan Sabah bagi memastikan semua dasar dan inisiatif pendidikan dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
“Hubungan erat ini amat penting dalam usaha memperkukuh sektor pendidikan negeri dan seterusnya melahirkan modal insan yang berkualiti serta berdaya saing,” katanya.
Delegasi Jabatan Pendidikan Sabah turut disertai Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Indang Kasi Sibin; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Krishna KS @ Mohd. Fadzli Abd. Rozan; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan, Murid Muddin Beting; serta Penolong Pengarah Kanan, Salleh Linggam.


































