Tun Musa Aman
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Aman menegaskan bahawa perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama terus menjadi asas penting kepada kestabilan serta kemakmuran negeri ini.
Dalam perutusan khas sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 beliau hari ini, Tun Musa berkata, majlis berkenaan bukan sekadar tradisi tahunan, sebaliknya melambangkan kedaulatan negeri serta kesetiaan rakyat kepada institusi Yang di-Pertua Negeri.
“Majlis ini merupakan simbol perpaduan dan kesetiaan rakyat kepada institusi Yang di-Pertua Negeri sebagai payung negeri untuk seluruh rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan dan doa berterusan rakyat yang menjadi tunjang kepada kestabilan negeri.
“Semangat seperti inilah yang menjadi asas kestabilan dan kemakmuran yang kita kecapi hari ini,” katanya.
Tun Musa berkata, beliau akan terus berpegang teguh kepada Perlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang dalam melaksanakan amanah sebagai Ketua Negeri.
“Saya akan terus berperanan sebagai payung negeri, berlaku adil dan saksama kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang demi memastikan keamanan dan kestabilan Sabah sentiasa terpelihara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memelihara perpaduan, memperkukuh integriti serta mengutamakan kepentingan negeri melebihi kepentingan peribadi.
Menurutnya, Sabah telah melalui pelbagai cabaran, namun kerjasama erat antara Kerajaan dan rakyat membolehkan negeri terus bergerak ke hadapan.
Beliau berkata, usaha memperkukuh ekonomi, meningkatkan kesejahteraan sosial dan memastikan pembangunan inklusif terutama di luar bandar perlu diteruskan secara konsisten.
Tun Musa turut menyatakan bahawa Sabah kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam sektor ekonomi, pelaburan dan pembangunan infrastruktur.
Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memperkukuh asas ekonomi negeri termasuk memajukan sektor pertanian, pelancongan, perindustrian serta ekonomi berasaskan sumber.
“Usaha menarik pelaburan domestik dan asing turut dipergiatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan yang mampan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik yang stabil bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pembangunan prasarana yang terancang akan menjadi pemangkin kepada kemajuan menyeluruh serta memastikan tiada komuniti tercicir.
Selain itu, Tun Musa berkata, aspek pendidikan dan pembangunan modal insan terus diberi keutamaan bagi melahirkan generasi muda berilmu dan berkemahiran tinggi.
Beliau juga menegaskan kepentingan peningkatan kemudahan kesihatan bagi memastikan rakyat mendapat rawatan yang cepat, selamat dan berkesan.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik pelaksanaan transformasi digital dalam perkhidmatan awam yang mampu meningkatkan kecekapan serta ketelusan penyampaian perkhidmatan Kerajaan.
Tun Musa turut mengingatkan bahawa integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran serta pengurusan kewangan negeri perlu sentiasa diperkukuh.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor atas komitmen berterusan dalam merancang dan melaksanakan dasar pembangunan.
“Segala usaha yang dilaksanakan telah menyumbang kepada kestabilan, kemajuan serta kemakmuran negeri,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri, serta menghargai sumbangan penjawat awam, pasukan keselamatan dan semua pihak dalam mempertahankan kedaulatan Sabah.
Tun Musa berdoa agar segala usaha dan pengorbanan semua pihak terus diberkati demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri.




























