Hajiji menyampaikan ucapan menjunjung kasih pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah diyakini mampu terus berkembang secara positif meskipun berdepan tekanan luaran termasuk kesan kemelesetan ekonomi dunia akibat konflik berpanjangan di Timur Tengah dan Eropah Timur.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, keyakinan itu bersandarkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menjadi teras utama agenda pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Dengan selesainya proses Pilihan Raya Negeri ke-17 pada akhir November tahun lalu, Kerajaan Negeri yang saya pimpin ini bertekad untuk memperhebatkan agenda pembangunan untuk tempoh lima tahun mendatang, bersandarkan Hala Tuju SMJ 2.0 yang telah dilancarkan pada 30 Januari lalu.
“Hala tuju ini juga sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula pada tahun ini sehingga 2030. Justeru, saya amat yakin, melalui Hala Tuju SMJ 2.0, ekonomi negeri mampu berkembang dengan positif meskipun akan berlaku tekanan luaran seperti kesan kemelesetan ekonomi dunia akibat peperangan yang sedang berlaku di Timur Tengah dan di Eropah Timur,” katanya dalam ucapan menjunjung kasih pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, pergolakan tersebut mengakibatkan bekalan minyak dunia turut terjejas.
“Keadaan ini mencetuskan krisis tenaga di peringkat global, yang juga bakal dirasai di negara ini. Justeru, saya mengajak seluruh rakyat untuk mengambil langkah berjimat cermat khususnya dalam berbelanja dan penggunaan kenderaan seharian,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat agar lebih berhemah dalam penggunaan air berikutan peningkatan suhu yang menunjukkan tanda-tanda fenomena El-Nino yang berpotensi menyebabkan kemarau panjang.
“Untuk itu, elakkanlah daripada melakukan pembakaran terbuka dan kurangkan aktiviti luar terutama ketika suhu mencapai tahap panas yang luar biasa,” katanya.




























