Armizan Mohd. Ali
KOTA KINABALU: Gangguan bekalan air yang kembali berlaku di Papar berpunca daripada dua isu utama iaitu kekurangan kapasiti air terawat serta masalah kualiti air mentah akibat kandungan klorida tinggi, kata Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Beliau berkata, keperluan harian bekalan air terawat bagi Papar dan kawasan sekitarnya dianggarkan mencecah 93 juta liter sehari (JLH), namun kapasiti loji rawatan sedia ada hanya mampu menghasilkan sekitar 63 JLH.
“Ini bermakna kita berdepan kekurangan kira-kira 30 juta liter air terawat setiap hari, dan loji sedia ada hanya mampu memenuhi sekitar 65 peratus daripada keperluan,” katanya.
Menurutnya, antara loji terlibat ialah Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon dengan kapasiti 40 JLH, EWSS Limbahau (10 JLH) serta LRA Jetama Limbahau (13 JLH).
Armizan berkata, bagi menangani isu itu, projek naik taraf LRA Kogopon telah dimulakan sejak Ogos 2023 yang akan menambah kapasiti sebanyak 40 JLH, menjadikan keseluruhan 80 JLH dengan sasaran siap pada Ogos 2026.
“Jika projek ini tidak siap mengikut jadual, pihak bertanggungjawab perlu tampil memberi penjelasan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bersama Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), JETAMA, kontraktor serta wakil rakyat kawasan berkaitan sejurus selesai Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, satu lagi punca gangguan bekalan air semasa ialah penutupan sementara dua loji di Limbahau apabila sumber air mentah tidak dapat dirawat.
Katanya, keadaan itu berlaku apabila kandungan klorida dalam air meningkat melebihi paras piawai 120 miligram per liter (mg/l), khususnya ketika musim kemarau dan fenomena air pasang.
“Ada ketika bacaan klorida mencecah lebih 2,000 mg/l, menyebabkan loji terpaksa dihentikan operasi sementara dan ini menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, penyelesaian jangka pendek adalah melalui pembinaan muka sauk alternatif di Kampung Kabang bagi memastikan sumber air mentah berterusan.
Menurutnya, projek menaik taraf muka sauk di kampung itu telah diluluskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, selepas lawatan ke lokasi berkenaan pada 19 Mac 2024.
“Projek ini akan meningkatkan kapasiti daripada 9 JLH kepada 30 JLH, sekali gus membolehkan loji di Limbahau terus beroperasi walaupun muka sauk sedia ada terjejas,” katanya.
Armizan berkata, projek berkenaan telah bermula pada Mac 2025 dan pihak JETAMA serta kontraktor memberi komitmen untuk menyiapkannya menjelang Julai 2026.
Beliau memberi jaminan akan terus memantau perkembangan projek itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Pantai Manis dan Limbahau.
“Kita mahu pastikan isu gangguan bekalan air yang telah lama membebankan rakyat Papar dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.





























