PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan KPDN akan melaksanakan Ops Pantau 2026 menjelang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, pelaksanaan Ops Pantau itu akan bermula pada 19 Februari hingga 20 Mac 2026, iaitu sepanjang tempoh bulan Ramadan.
“Menjelang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan OPS Pantau. Pelaksanaan OPS Pantau ini akan bermula pada 19 Februari sehingga 20 Mac 2026, iaitu sepanjang tempoh bulan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, skop pelaksanaan Ops Pantau akan memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan pemantauan secara lebih kerap serta bersasar ke atas bekalan dan harga barang yang menjadi tumpuan rakyat pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, antara barangan yang diberi perhatian termasuk gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, barang basah dan barangan untuk membuat kuih-muih.
“Langkah ini memastikan barangan yang dijual mempunyai tanda harga, tidak berlaku pencatutan serta barang kawalan dijual mengikut harga diwartakan Kerajaan. Ini termasuk barangan yang tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pemantauan turut melibatkan premis perniagaan yang mengadakan jualan murah bagi memastikan tidak berlaku iklan yang mengelirukan pengguna.
Ops Pantau juga akan memberi tumpuan kepada bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri supaya tidak wujud aktiviti penjualan barang-barang tiruan, selain memantau penjualan secara dalam talian yang bertentangan dengan undang-undang berkuat kuasa.
Armizan berkata, pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi strategik dan tempat sasaran seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan platform penjualan dalam talian.
“Penugasan ini bagi melaksanakan pemeriksaan serta penguatkuasaan dan melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, KPDN akan menjalinkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan para peniaga di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Pantau.
Tegasnya, mana-mana peniaga yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].
Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dikompaun sehingga RM25,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000.
Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum pula, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Sementara itu, bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
Untuk rekod, beliau berkata, sebanyak 70,906 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara menerusi Ops Pantau 2025.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 390 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan berjumlah RM42,878.52,” katanya.
Sehubungan itu, Armizan meminta kerjasama orang ramai yang juga merupakan sebahagian daripada gerakan massa di bawah kempen KITA GEMPUR untuk memaklumkan kepada KPDN sekiranya berlaku salah laku atau ketidakpatuhan.
Aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-848 8000, Call Centre 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
































