Tun Musa (tengah) menerima cenderakenangan daripada Arifin.
KOTA KINABALU : Kerajaan negeri Sabah akan mewujudkan Pusat Pemuliaan Al-Quran bernilai RM3 juta di Kinarut pada tahun ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pusat berkenaan akan berfungsi sebagai lokasi khas bagi melupuskan Al-Quran lama atau bahan bercetak mengandungi ayat suci yang telah rosak, selaras dengan panduan agama Islam.
“Peruntukan pembinaan pusat itu telah diluluskan dan tempoh pembinaannya dijangka mengambil masa kira-kira setahun.”Pusat Pemuliaan Al-Quran ini akan diselenggarakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
“Sementara ini, kemudahan seumpama itu ada di Tawau namun kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah pusat khas di Kinarut,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Isnin.
Kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan Tun Musa mengenai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah (MTHQNS) yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 13 Februari ini.
Menurut beliau, MTHQNS akan diadakan di Dewan Saadah, Wisma MUIS bermula dengan konvensyen Al-Quran disusuli pertandingan tilawah dan hafazan untuk kategori remaja serta dewasa sebelum majlis penutupan yang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri pada Jumaat ini.
Selain itu, Arifin juga memaklumkan Masjid Negeri Sabah kini sedang dinaik taraf dengan bahagian bawah masjid telah siap dan boleh digunakan sementara bagi keperluan jemaah menunaikan solat fardhu dan solat Jumaat.
”Bagi Dewan Utama pula, kerja-kerja naik taraf masih diteruskan dan masih ditutup sementara. Selain itu, penambahan ruang di kawasan perkarangan dalam turut dirancang bagi menampung kapasiti jemaah,” ujarnya.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih dan Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin.






























