Penyerahan jawatan Pengerusi POIC Sabah daripada Yong kepada Madius (kanan).
KOTA KINABALU: Pengerusi baharu POIC Sabah Sdn. Bhd., Datuk Seri Wilfred Madius Tangau komited memupuk semangat kerja berpasukan dan kebersamaan dalam kalangan warga kakitangan POIC bagi merealisasikan hala tuju pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Sehubungan itu, beliau memperkenalkan inisiatif “1POIC, 1 Tujuan” sebagai pendekatan memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan kecekapan operasi organisasi, selaras peranan POIC sebagai pemangkin pembangunan industri dan ekonomi Sabah.
Menurutnya, penerapan nilai kebersamaan mampu meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih progresif dan berdaya saing.
“Budaya kerja 1POIC, 1 Tujuan menuntut seluruh warga POIC bergerak sebagai satu pasukan dengan matlamat yang sama, berlandaskan integriti, profesionalisme dan komitmen bersama demi memastikan kelangsungan serta kejayaan organisasi,” katanya.
Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.14 Tamparuli berkata demikian semasa sesi serah tugas bersama mantan Pengerusi POIC, Datuk Seri Yong Teck Lee, yang berlangsung di Pejabat POIC Sabah, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan komitmen untuk mengamalkan kepimpinan inklusif dengan membuka ruang kepada sumbangan idea dan pandangan daripada pelbagai pihak demi kemajuan berterusan POIC.
“Saya juga mempelawa Datuk Seri Panglima Yong serta semua mantan Pengerusi POIC sebelum ini untuk terus menyumbang bakti kepada GLC ini.
“Pengalaman serta jaringan strategik yang dimiliki mereka merupakan aset penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan dan menarik pelaburan berkualiti ke POIC,” tambahnya.
Sesi serah tugas tersebut mencerminkan peralihan kepimpinan yang tersusun serta komitmen berterusan POIC dalam memperkukuh kedudukannya sebagai hab industri strategik di Sabah.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif POIC, Datuk Fredian Gan, Ahli-ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan tertinggi serta warga kakitangan POIC.






























