Jamawi (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama dengan semua yang turut serta dalam lawatan ke Kilang Cendewan KPD, Mesilou Kundasang.
KUNDASANG: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar mengadakan lawatan ke beberapa projek di bawah Koperasi Pembangunan Desa (KPD) serta aktiviti pertanian Jabatan Pertanian di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Mesilou, di sini, kelmarin.
Dalam lawatan tersebut, Jamawi melawat Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) Kundasang serta kilang pemprosesan dan tapak penanaman cendawan KPD di Mesilou.
Semasa lawatan, Jamawi serta yang lain telah diberikan taklimat ringkas daripada Pengurus Besar (Operasi), Andree Funk.

Jamawi (tengah) bergambar kenangan di APCC, KPD Kundasang.
Jamawi dimaklumkan bahawa KPD kini mengeluarkan kira-kira 800,000 unit cendawan setahun, merangkumi jenis Black Jelly, Tiram dan Shiitake untuk makanan, serta cendawan Ling Zhi bagi tujuan perubatan.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong dan Pengarah Urusan KPD, Jailis Masarip serta beberapa lagi Pegawai KPD dan MAFFI.
Jamawi turut mengadakan lawatan ke TKPM Mesilou di bawah Jabatan Pertanian bagi meninjau 91 buah rumah perlindungan hijau yang digunakan oleh belia tempatan untuk penanaman tomato, cili dan tanaman lain dengan kadar sewaan rendah.

Jamawi (kiri) dan Leonard (kanan) melihat tanaman strawberi
“Kepada belia di kawasan Kundasang, kita akan berusaha mendapatkan peruntukan bagi menambah bilangan rumah perlindungan hujan pada masa akan datang.
“Ini merupakan komitmen Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) untuk memastikan peluang disediakan kepada belia yang tidak memiliki tanah tetapi berminat dalam bidang pertanian. TKPM juga terdapat di Tawau, Sook, Keningau dan beberapa lokasi lain,” katanya.
Di TKPM Mesilou, Jamawi bertemu dengan seorang petani, Shahrizal Denci, yang mengusahakan penanaman bawang di atas tanah KPD seluas 40 ekar secara sewaan.
Jamawi berkata, Shahrizal juga terlibat dalam program mentor-mentee di bawah Inisiatif Kebun Dapur dan akan berkongsi pengetahuan serta pengalaman dengan golongan muda yang berminat dalam penanaman bawang.

Jamawi (kiri) bersama Shahrizal (dua dari kiri) ketika berada di tapak penanaman bawang.
Sementara itu, Shahrizal, 44, merakamkan penghargaan kepada Kementerian melalui KPD atas sokongan yang diberikan dalam mengembangkan projek penanaman bawang yang diusahakannya.
Jamawi berpuas hati dengan peranan serta fungsi jabatan dan agensi di bawah MAFFI dan berharap inisiatif tersebut dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat serta para petani.
Terdahulu, Jamawi turut melawat kilang pengeringan hasil tanaman di Dongonggon, Penampang.































