David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menyeru orang ramai agar mengamalkan penggunaan makanan secara berhemah dengan hanya memesan mengikut keperluan sebenar serta mengelakkan pembaziran.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata, pembaziran makanan bukan sekadar isu tabiat individu, sebaliknya melibatkan tanggungjawab moral, sosial dan ekonomi yang memberi kesan besar kepada masyarakat.
“Pembaziran makanan mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap sumber yang semakin terhad. Setiap hidangan yang dibazirkan bukan sahaja merugikan pengguna dari segi kewangan, malah menafikan nilai usaha petani, pekerja rantaian bekalan serta sumber alam yang digunakan untuk menghasilkan makanan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, di peringkat global masih terdapat jutaan penduduk yang berdepan kelaparan, kekurangan zat makanan serta masalah nutrisi serius, termasuk kanak-kanak yang mengalami pertumbuhan terbantut akibat kekurangan nutrien berpanjangan.
“Dalam keadaan ini, makanan seharusnya dihargai sebagai keperluan asas, bukannya diambil mudah atau dibazirkan,” katanya.
Menurut beliau, setiap pembaziran makanan turut melibatkan pembaziran sumber penting seperti air, tenaga, tenaga kerja dan hasil pertanian, selain meningkatkan tekanan terhadap rantaian bekalan makanan.
Chan berkata, amalan berfikir secara berhemah ketika membuat pesanan makanan bukan sahaja membantu pengguna menjimatkan kos sara hidup, malah menyumbang kepada kelestarian sistem makanan negara.
Beliau turut menarik perhatian kepada langkah yang diambil oleh beberapa negara yang mengenakan caj tambahan atau penalti ke atas pelanggan yang memesan makanan secara berlebihan dan meninggalkan lebihan makanan melebihi had ditetapkan.
“Pendekatan ini bertujuan mendidik masyarakat supaya lebih menghargai makanan dan tidak mengambil mudah terhadap sumber yang ada,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, YPNM menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai pengurangan pembaziran makanan dan menggesa pengguna supaya merancang pesanan dengan bijak, memesan dalam kuantiti sederhana serta mensyukuri setiap hidangan yang dinikmati.
Tambahnya, pengurangan pembaziran makanan adalah tanggungjawab bersama dan boleh dicapai melalui tindakan kecil tetapi konsisten, sekali gus membantu menjimatkan perbelanjaan isi rumah serta menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat global yang masih berdepan isu keselamatan makanan.
































