Dr. Joachim (tengah) bersama kepimpinan parti mengabadikan gambar kenangan bersama ahli-ahli serta rombongan PBS dari beberapa Bahagian di Parlimen Sandakan.
SANDAKAN: Program walkabout bertemu rakyat bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara kepimpinan parti dan masyarakat setempat, malah menjadi medium berkesan dalam menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Sehubungan itu, Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam bersama barisan kepimpinan parti telah mengadakan program walkabout sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di sekitar bandar Sandakan, di sini, hari ini.
Program yang bermula seawal jam 9 pagi itu dimulakan di Pasar Bandar Ramai sebelum rombongan meneruskan lawatan ke Pasar Kim Fung bagi menyantuni para peniaga dan orang ramai, di samping menyampaikan ucapan selamat Tahun Baharu Cina.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai; Bendahari Agung, Datuk Lu Kim Yen; Naib Presiden PBS merangkap tuan rumah, Datuk Linda Tsen; Timbalan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jonnybone J. Kurum yang juga Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan; Ketua Exco Pemuda PBS, Datuk Christoper Mandut; serta Naib-Naib Presiden, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Ketua-Ketua Bahagian PBS dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Induk, Pemuda serta Wanita di kawasan Parlimen Sandakan.
Dalam pada itu, Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program tersebut, di samping menghargai komitmen serta kehadiran semua ahli parti yang memberikan sokongan padu.
Beliau menegaskan bahawa program seumpama ini mencerminkan komitmen PBS untuk terus mendekati rakyat, selain memperkukuhkan hubungan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum selaras dengan semangat Sabah yang inklusif dan bersatu.
Program walkabout ini turut menjadi platform bagi kepimpinan parti untuk mendengar pandangan serta aspirasi rakyat di peringkat akar umbi, sejajar dengan usaha berterusan PBS dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
Rombongan PBS dari beberapa Bahagian turut mengambil kesempatan untuk beramah mesra bersama Joachim dan kepimpinan tertinggi parti selepas selesai aktiviti walkabout.
































