Tun Musa (tengah) menyampaikan
Anugerah Janang Gayuh kepada Ruslan.
BEAUFORT: Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Datuk Ruslan Muharam, menerima Anugerah Janang Gayuh Bisaya sebagai penghargaan terhadap kepimpinan dan sumbangannya dalam memperkasa masyarakat Bisaya di negeri ini.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada Majlis Anugerah Janang Gayuh yang berlangsung di sini, malam Sabtu.
Setiausaha Agung PBBS, Benjamin @ Ismail Atin, berkata anugerah berkenaan melambangkan penghargaan terhadap nilai kepimpinan, jasa bakti dan pengorbanan penerima.
“Janang Gayuh membawa maksud kepimpinan yang mendahului dan membimbing masyarakat serta memikul amanah dengan kebijaksanaan, keberanian dan keikhlasan.
“Penganugerahan ini dibuat melalui penelitian teliti, pertimbangan adil serta keputusan berlandaskan musyawarah dan ketetapan perlembagaan persatuan,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Benjamin yang juga Pengerusi Pelaksana majlis berharap penganugerahan itu dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda Bisaya khususnya dan rakyat Sabah amnya untuk menjunjung nilai integriti, kesederhanaan dan semangat muafakat dalam kepimpinan.
Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Presiden Persatuan KadazanDusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih.
Majlis turut disertai Penaung Persatuan Bisaya Sarawak, Datuk Palu @ Paulus Anak Gumbang; serta Presiden Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS), Datuk Pengiran Lalung.
































