PENAMPANG: Polis Daerah Penampang menahan lima lelaki dan merampas pelbagai barangan dipercayai berkaitan dengan kes pecah rumah yang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, tangkapan dibuat susulan kejadian pecah rumah di sebuah rumah tidak berpenghuni di Penampang yang ketika itu sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian.
Menurutnya, kejadian tersebut mengakibatkan kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang telah menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah di Putatan dan berjaya menahan lima lelaki berusia antara 26 hingga 31 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihak polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai berkaitan dengan kes tersebut serta disyaki hasil kegiatan jenayah.
“Hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan pecah rumah dan dadah,” katanya.
Tambah beliau, saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek didapati positif dadah.
Kesemua suspek kini ditahan di Lokap IPD Penampang bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan keselamatan premis dan harta benda, khususnya rumah yang tidak berpenghuni.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
































