PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick merasmikan Bazaar Plaza 333 Spring Festive 2026, di sini semalam, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba.
Majlis itu dimeriahkan dengan persembahan tarian naga dan singa serta menghimpunkan pengunjung pelbagai kaum, sekali gus menyemarakkan suasana perayaan di Plaza 333.
Ewon berkata, penganjuran bazaar berkenaan mencerminkan komitmen pengurusan Plaza 333 dalam menyediakan platform kepada usahawan tempatan memasarkan produk dan menjana pendapatan, khususnya sempena musim perayaan.
“Sebanyak 40 gerai disediakan dan bazaar ini akan berlangsung sehingga malam esok (hari ini).
“Inisiatif seperti ini amat baik kerana memberi ruang dan peluang kepada usahawan kecil dan sederhana berniaga dalam suasana yang kondusif,” katanya.
Menurut beliau, program seumpama itu bukan sahaja memeriahkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, malah menyumbang kepada pengukuhan aktiviti ekonomi setempat.
Pada majlis sama, Ewon turut menyantuni sebahagian usahawan yang mengambil bahagian serta membeli produk yang dijual sebagai sokongan kepada mereka.
































